Honda Civic FE generasi ke-11 kini telah dilancarkan di Singapura, dengan pengedarnya Kah Motor hanya menawarkan satu varian sahaja dengan harga jualan SGD122,999 (RM383,851) termasuk COE.

Pelanggan di sana ditawarkan dengan varian 1.5 liter DOHC VTEC Turbo empat-silinder yang menghasilkan 129 PS (127 hp) dari 5,500 hingga 6,000 rpm dan 180 Nm tork dari 1,700 hingga 4,500 rpm. Ini sebenarnya kurang daripada apa yang ada untuk pasaran Thailand misalnya, bahkan jika dibandingkan dengan model terdahulu yang dijual di Singapura. Mengapa begitu?

Ini kerana talaan enjinnya direndahkan bagi memastikan Civid layak diterima dalam kategori A COE, yang paling murah daripada lima kategori yang tersenarai dalam Vehicle Quota System (VQS) di Singapura. Bagi memenuhi keperluan COE ini, sesebuah kereta itu mesti mempunyai sesaran enjin tidak lebih 1,600 cc (1.6 liter) dengan output maksimum 97 kW (132 PS atau 130 hp) — kedua-duanya ada pada Civic baru ini.

Civic FC generasi ke-10 sebelum ini yang dijual di negara itu menawarkan enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang menghasilkan 173 PS dan 220 Nm tork. Jadi, walaupun ia menepati bahagian pertama keperluan untuk Kategori A tersebut, output yang lebih tinggi tergolong dalam Kategori B yang lebih mahal.

Bagi Civic FE ini, ia masih menggunakan CVT yang menghantar kuasa ke roda depan. Enjin berkenaan juga mempunyai kadar penggunaan minyak 6.4 liter per 100 km. Tiada bacaan emisi yang disertakan, tetapi model ini diletakkan di jalur B dalam Vehicular Emission Scheme (VES) negara itu, bermaksud ia tidak menikmati apa-apa rebat berkaitan.

Kelengkapan standard untuk pasaran Singapura termasuk lampu utama projektor halogen dengan DRL LED, lampu belakang LED, rim 16-inci, sistem tanpa kunci, mod pemanduan ECON, pengecas tanpa wayar, kemasan kulit, stereng multi-fungsi dan pendingin hawa automatik dengan corong belakang.

Bagi skrin paparan, terdapat dua yang disediakan dalam kabin, termasuk kluster instrumen digital tujuh-inci serta skrin sentuh sembilan-inci bagi sistem audio dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi dengan Honda Sensing yang terdiri antaranya daripada kawalan melayar adaptif dengan ikutan kelajuan rendah, sistem brek penghindar perlanggaran dengan amaran pergerakan ke depan, bantuan mengekalkan lorong dan beberapa lagi. Sistem LaneWatch juga ada, berserta sistem keselamatan pasif yang lain (ABS, VSA, Brake Hold Assist, enam beg udara dan ISOFIX).

Ada tujuh warna ditawarkan termasuk Meteoroid Grey Metallic, Morning Mist Blue Metallic, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Crystal Black Pearl, Ignite Red Metallic dan Brilliant Sporty Blue Metallic. Setiap pembelian datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan serta servis percuma selama setahun, yang boleh dinaik taraf kepada tiga tahun dengan tambahan SGD 2,000 (RM6,238).