Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengadakan satu program penghargaan khas untuk petugas barisan hadapan di Malaysia. Ia melibatkan rebat istimewa, baucar barangan runcit serta pelbagai lagi hadiah lain yang keseluruhannya bernilai RM7,900, apabila mereka membeli kenderaan Hyundai. Selain petugas kesihatan dan penguatkuasa undang-undang, HSDM juga memasukkan sekali ahli bomba serta guru sekolah awam.

“Setiap hari, petugas barisan hadapan sektor kesihatan dan awam telah menunjukkan keberanian dan ketahanan mereka dalam memerangi pandemik ini. Kami sangat berterima kasih kepada mereka atas kerja berterusan ini, yang mana adalah sangat penting untuk memerangi virus ini. Kami berpadu sama dengan hero ini dan percaya kita boleh melakukannya bersama. Semangat mereka dalam waktu sukar ini adalah satu inspirasi bagi kita semua. Mereka layak diangkat dan dihargai,” kata pengarah urusan HSDM, Low Yuan Lung.

“Kami harap program ini akan dapat memberikan sedikit kelegaan. Selain menjadikan kenderaan Hyundai lebih mampu milik bagi mereka, kami juga akan memberikan baucar barangan runcit sebagai tanda penghargaan untuk semua kerja keras, dedikasi serta pengorbanan mereka,” tambah beliau.

Sama seperti pemilik Hyundai baru yang lain, mereka yang menyertai program ini juga akan mendapat kad kesetiaan Hyundai, yang melayakkan pemegangnya menikmati pulangan balik pada alat ganti tertentu dan bayaran upah, serta promosi bulanan eksklusif.

Semua model Hyundai datang dengan servis percuma tiga tahun atau 50,000 km, dan jaminan lima tahun atau 300,000 km. Bergantung kepada pakej pembiayaan, bayaran bulanannya boleh menjadi serendah RM958 dan anda juga boleh meminta keterangan berkenaan subsidi bayaran pendahuluan.