BMW Motorrad Malaysia telah mendedahkan senarai harga terbaru untuk barisan model R1250GS, yang kini semuanya ada tujuh versi yang menggunakan enjin boxer 1,254 cc. Paling murah adalah R1250GS Style Rally, yang dipasarkan pada harga RM119,500.

Ia kemudiannya diikuti oleh R1250GS Style Triple Black dengan harga RM120,500 dan R1250GS ’40 Years GS’ Edition dengan grafik khas yang dijual pada harga RM122,500. Pergi pula kepada model yang menggunakan tangki bahan api lebih besar, iaitu R1250GS Adventure (GSA), ia bermula dengan R1250GS Adventure (Lowering) pada harga RM130,500.

Kemudiannya, ia diikuti R1250GSA Style Rally pada harga RM132,500, R1250GSA Style Triple Black pada RM133,500 dan R1250GSA ’40 Years GS’ Edition RM135,500. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan motosikal datang dengan jaminan serta bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

Barisan model R1250GS ini dikuasakan oleh enjin boxer 1,254 cc yang mampu menghasilkan kuasa 136 hp pada 7,750 rpm dan 143 Nm tork pada 6,250 rpm. Enjin dua silinder ini turut dilengkapi dengan pemasaan cam injap intake boleh ubah.

Teknologi yang ada pada motosikal ini juga agak canggih, termasuk Dynamic Traction Control dengan enam mod tunggangan, suspensi elektronik, cruiser control, sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi BMW Motorrad Connected, sistem Keyless Ride serta panel instrumen TFT-LCD berwarna penuh.

GALERI: BMW Motorrad R1250GS 2021

GALERI: BMW Motorrad R1250GSA 2021