Suzuki Malaysia melalui laman Facebook mereka nampaknya telah memuat naik gambar ketibaan beberapa model berkuasa tinggi di Malaysia, termasuklah Katana 2021. Tertulis pada gambar itu, unit ini diimport dari Jepun dan mereka yang berminat boleh melihatnya di pusat pameran.
Walaubagaimanapun, melalui pemeriksaan kami, model ini masih belum tiba di pusat pameran, tetapi sudah ada di ibu pejabat Suzuki Malaysia di Glenmarie, Shah Alam. Harga Katana 2021 ini masih belum diberitahu, tetapi jika melihat dua tahun lepas, semasa ia baru dilancarkan di Malaysia, Katana dijual pada harga sekitar RM85k.
Suzuki Katana menggunakan enjin empat silinder 999 cc daripada model GSX-R1000R, dan ia mampu menghasilkan kuasa 147 hp pada 10,000 rpm dan 108 Nm tork pada 9,500 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan Suzuki Clutch Assist System (SCAS).
Sebagai sebuah motosikal moden, Katana 2021 dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman tiga mod serta ABS pada bahagian brek yang menggunakan cakera berkembar serta angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera tunggal di belakang.
Kelengkapan lain pada model ini adalah termasuk fork USD KYB 43 mm yang boleh dilaras sepenuhnya, monoshock belakang dengan larasan pra beban dan lantunan, rim 17 inci serta meter jenis digital.