Pembukaan semula secara berperingkat sektor pengilangan di negara ini di bawah fasa berbeza Pelan Pemulihan Negara (PPN) turut menyaksikan operasi semula bagi pengeluaran kenderaan di beberapa negeri, walaupun outputnya masih tidak berganjak bagi tempoh bulan lalu.

Antara yang dibenarkan untuk menyambung operasi adalah kilang Proton di Tanjung Malim, Perak, yang mana negeri itu telahpun berada dalam Fasa 2 PPN sejak awal Julai lalu. Ini telah membolehkan kilang tersebut mengeluarkan sebanyak 1,677 unit sepanjang bulan lalu. Sementara itu, kilang pengeluar lain seperti Perodua (Rawang), Toyota (Shah Alam) dan Honda (Pegoh, Melaka) menyaksikan sifar pengeluaran disebabkan kilang mereka dilarang beroperasi bagi tempoh sama.

Selain jumlah pengeluaran oleh Proton ini, ada beberapa lagi kilang di Malaysia yang turut mencatatkan pengeluaran kenderaan penumpang sepanjang Julai. Ini termasuk Mitsubishi (138 unit), Volkswagen (176), Mercedes-Benz (258 unit), BMW (48 unit), Hyundai (75 unit) dan Peugeot (24 unit). Bagi trak pikap, Isuzu mengeluarkan sebanyak tiga unit D-Max, selain 229 trak komersial.

Semua pengeluar lain mencatatkan sifar pengeluaran akibat kawalan yang dikenakan oleh kerajaan akibat pandemik ketika ini, terutama bagi kilang-kilang yang berada di negeri-negeri Fasa 1. Untuk itu, jumlah keseluruhan pengeluaran kenderaan pada bulan Julai adalah 2,396 unit.

Keadaan akan kekal seperti ini sehinggalah kerajaan membenarkan operasi dalam saiz kapasiti berbeza bergantung kepada kadar vaksinasi dalam kalangan pekerja kilang terblibat. Ini melibatkan kebenaran untuk 60% kapasiti operasi bagi kadar vaksinasi 40%-50%; 80% kapasiti operasi bagi kadar vaksinasi 60%-70%; dan kapasiti penuh 100% operasi sekiranya kadar vaksinansi pekerja mencapai 80% ke atas.

Pengeluaran kenderaan bergantung secara langsung dengan jumlah serahan kenderaan, jadi pencapaian pengeluaran Proton ini selari dengan angka jualan kenderaan yang dicatatkan pada Julai dengan 1,904 unit. Keseluruhannya, operasi kilang yang disambung semula ini akan memperbaiki jumlah jualan dan stok bekalan, memandangkan bilik pameran juga kini dibenarkan dibuka kepada pengunjung yang telah divaksin penuh.