Sempena meraikan 10 tahun kewujudannya, pengeluar ECU tempatan, FSR Technology telah memperkenalkan TuneBoss Gen2 ECU generasi terbaru. Boleh dipertingkat secara berperingkat, TuneBoss Gen2 ECU menawarkan kepada penunggang kebolehkan untuk mengunjurkan fungsi talaan maju bagi motosikal atau skuter, walaupun dengan segala macam keterhadan sedia ada.

Pembangunan cip terbaru ini dilakukan dengan kerjasama bebera pasukan lumba motosikal tempatan dalam tempoh beberapa tahun kebalakangan ini dan ujian litar bagi jentera yang mengunakan ECU ini menunjukkan keputusan positif. Model-model motosikal yang boleh memanfaatkan Tuneboss Gen2 ECU ini termasuk Yamaha FZ150i, Legenda, Nmax V1, Y15ZR, YZF-R15 dan YZF-R25. Bagi model Honda pula termasuklah Honda Wave Fi, CBR250 dan RS150R, sementara Yamaha MT-15 dan Yamaha Y16ZR merupakan tambahan terbaru kepada senarai ini.

“Fokus kami untuk versi Gen2 adalah untuk menjadikan teknologi ini lebih mampu milik dan boleh dimanfaatkan dengan lebih meluas, dan pada masa yang sama menawarkan ciri berkualiti tinggi kepada pelanggan yang mahukannya. Untuk mencapai ini, Gen2 ECU dijual pada harga permulaan yang lebih rendah dan ia boleh dinaiktaraf dalam tiga peringkat. Selepas selesai naiktaraf sepenuhnya, ia memiliki lebih banyak fungsi dan prestasi berbanding versi Gen1,” ujar CEO FSR Technology, Farhan Ali.

Ciri yang ada pada Gen2 ECU boleh ditalakan di mana-mana pengedar sah Tuneboss, dengan ECU asas dalam Peringkat Satu dijual pada harga RM299 (bagi Legenda dan Wave) berbanding generasi terdahulu ECU yang dijual pada harga RM499. “Peringkat 1 ini sudah cukup baik untuk kebanyakan penunggang yang mahukan lebih gesaan pada motosikal mereka. Sesuai untuk aktiviti di litar pada hujung minggu yang inginkan lebih prestasi untuk motosikal mereka,” jelas Farhan.

Beralih ke Peringkat Dua akan melibatkan kos sebanyak RM200 dan membolehkan pengguna menikmati fungsi talaan penuh bagi penghidup dan minyak, kawalan Variable Valve Actuation (VVA), Throttle Acceleration Compensation dan banyak lagi. Baru untuk Gen2 ini ialah Peringkat Tiga, yang membolehkan talaan lebih maju dilakukan, termasuk untuk dua penyuntik, kawalan pam air elektrik dan larasan sudut suntikan minyak. Semua ini hanya melibatkan pertambahan kos RM250 berbanding Peringkat Satu dan Dua.

Merupakan produk buatan Malaysia sepenuhnya — 100% direka, dijurutera dan dikilangkan di Malaysia — Tuneboss merupakan ECU pasaran massa yang pertama di dunia yang menawarkan sambungan Bluetooth, membolehkan programming tanpa wayar dilakukan. Tuneboss Gen2 ECU turut disepadukan dengan modul naiktaraf quickshifter dan launch control, ciri yang biasa ditemukan pada motosikal berkuasa lebih tinggi dan mahal. Modul prestasi lain juga ketika ini sedang dalam pembangunan.