Hyundai Kona Electric kini dijual di Malaysia – RM180k bagi unit demo HSDM yang dipamerkan di KLIMS 2018

Bagi mereka yang mahukan sebuah kereta elektrik selain Nissan Leaf, ini ada satu pilihan untuk anda iaitu Hyundai Kona Electric. Walau bagaimanapun, ini bukan bermaksud Kona Electric sudah dilancarkan secara rasmi oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), sebaliknya unit yang anda lihat ini adalah unit terpakai yang dijual oleh divisi kereta terpakai Sime Darby iaitu Sime Darby Auto Selection.

Unit tersebut dikilangkan pada tahun 2018, dan telah didaftarkan di Malaysia pada September tahun lalu. SUV elektrik ini telah mencatatkan jarak perjalanan sejauh 18,000 km, dan kini dibuka untuk jualan pada harga RM180,000. Kami turut telah mendapat pengesahan dari HSDM sendiri bahawa unit yang dijual ini adalah unit yang sama dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, bersama Hyundai Nexo berkuasa sel bahan api hydrogen dan hot-hatch i30 N.

Selepas ia dipamerkan untuk tatapan umum bagi mendedahkan teknologi elektrik yang ada pada Hyundai buat masa sekarang di acara tersebut, Kona Electric ini digunakan sendiri oleh HSDM. Ia telah diuji oleh unit teknikal dan pengurusan syarikat berkenaan bagi melihat prestasi, kesesuaian dan ketahanan Kona Electric tersebut di Malaysia.

Hyundai Kona Electric kini dijual di Malaysia – RM180k bagi unit demo HSDM yang dipamerkan di KLIMS 2018

Menurut HSDM lagi, mereka berpuas hati terhadap aspek perbatuan untuk setiap caj Kona Electric tersebut kerana dalam ujian berkenaan jarak gerak yang ditunjukkan bukan sahaja tepat, malah mereka turut telah mendapat jarak 60 km lebih jauh daripada apa yang didakwa.

Hyundai Kona Electric ini telah membuat kemunculan sulungnya pada Februari 2018 dan diperkenalkan terlebih dahulu di pasaran Eropah. Secara keseluruhan, ia masih menampilkan rupa yang hampir sama dengan Kona biasa, dan hanya dibezakan dengan perincian unik seperti gril hadapan tanpa liang, serta menampilkan konsol tengah tanpa tombol gear.

Ketika dilancarkan, Kona Electric ditawarkan dalam dua pilihan bateri polimer lithium ion iaitu 39.2 kWj dan 64 kWj. Model dengan bateri 39.2 kWj dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 135 PS/395 Nm dengan jarak gerak 312 km, manakala versi dengan bateri 64 kWj pula menerima motor elektrik 204 PS/395 Nm, dan boleh bergerak sejauh 482 km dengan satu caj penuh.

Hyundai Kona Electric kini dijual di Malaysia – RM180k bagi unit demo HSDM yang dipamerkan di KLIMS 2018

Dari segi prestasi, model asas dengan bateri lebih kecil berkenaan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.3 saat, manakala versi bateri 64 kWj mampu untuk memecut dalam jarak sama dalam masa 7.6 saat. Tetapi kedua-dua versi ditetapkan dengan kelajuan maksima yang sama iaitu 167 km/j.

Sistem caj cepat 100 kW DC (CCS) pada Kona Electric ini membolehkan caj 80% dicapai dalam masa hanya 54 minit. Namun sekiranya anda menggunakan pengecaj on board 7.2 kW AC (Type 2), model dengan bateri asas memerlukan 6 jam 10 minit, manakala versi dengan bateri 64 kWj pula memerlukan masa selama 9 jam 40 untuk dipenuhkan.

Unit milik HSDM yang hendak dijual ini adalah dari versi 64 kWj, dan turut dibekalkan dengan kabel pengecas standard. Sekiranya pembeli mahukan pengecaj pantas, ia boleh ditempah melalui HSDM sendiri. Malah syarikat tersebut telah mengesahkan kepada kami bahawa mereka turut akan memberikan khidmat sokongan selepas jualan kepada pemilik baharu Kona Electric tersebut.

Hyundai Kona Electric merupakan model yang agak berjaya buat Hyundai. Sehingga kini, ia telah terjual sebanyak 100,000 unit di seluruh dunia selepas diperkenalkan dua tahun lalu. Ia juga telah diperkenalkan dalam versi facelift – walaupun hanya menampilkan perubahan dari segi tayar, model dengan rupa lebih segar tersebut kini boleh bergerak sejauh 484 km (+2 km) bagi model dengan bateri 64 kWj.

HSDM kini dilihat bersemangat dalam memperkenalkan model-model baharu Hyundai – mereka telah membawa hot-hatch i30 N, malah bagi model Kona facelift versi lebih sporty N Line juga turut telah diperkenalkan di Malaysia. Adakah Kona Electric 2021 turut akan dibawa ke sini tidak lama lagi? Sama-sama kita tunggu.

GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required