GALERI: Hyundai Kona 1.6 Turbo dan N Line di M’sia – 198 PS/265 Nm, harga bermula RM147k – RM157k

GALERI: Hyundai Kona 1.6 Turbo dan N Line di M’sia – 198 PS/265 Nm, harga bermula RM147k – RM157k

Hyundai Kona N Line 2021

Selepas melancarkan Kona facelift dalam varian Active dengan enjin 2.0 liter NA pada April, Hyundai Sime Darby Motors kemudian membawa pula versi yang lebih berkuasa dengan enjin induksi paksaan iaitu Kona 1.6 Turbo serta model yang diberikan penggayaan lebih agresif Kona N Line pada Julai lalu.

Dan seperti juga model-model lain yang dilancarkan ketika tempoh sekatan pergerakan sebelum ini, kami tidak dapat membawakan anda gambar sebenar Kona Turbo dan Kona N Line. Jadi dengan aktiviti perniagaan yang sudah mula dibuka, ini dia galeri penuh kami bawakan untuk anda bagi kedua-dua SUV segmen-B yang bukan sahaja handsome, malah menampilkan unit penjana yang paling berkuasa dalam kelasnya ini.

Hyundai Kona 1.6 Turbo dijual pada harga RM146,888, sementara versi N Line yang lebih sporty pada harga RM156,888. Angka yang disebutkan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, serta dengan pengecualian SST (50% bagi CBU import) yang akan berakhir pada 31 Disember nanti.

GALERI: Hyundai Kona 1.6 Turbo dan N Line di M’sia – 198 PS/265 Nm, harga bermula RM147k – RM157k

Hyundai Kona 1.6 Turbo 2021

Kedua-dua model ini dijana oleh enjin Hyundai Smartstream G1.6 T-GDi yang menghasilkan 198 PS dan tork maksima 265 Nm antara 1,600 hingga 4,500 rpm. Enjin berkenaan adalah versi kemaskini dari versi 1.6 Turbo dengan sistem suntikan bahan api terus terdahulu, yang kini turut menerima sistem Continuous Variable Valve Duration (CVVD).

Teknologi baharu tersebut jelas memberikan 21 PS kuasa tambahan pada enjin berkenaan di mana sebelum ini ia hanya menjana 177 PS. Digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan Smartstream 7DCT yang hanya memacu roda hadapan, kedua-dua Kona 1.6 Turbo dan N-Line mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat, atau 0.2 saat lebih pantas dari sebelum ini.

Sebagai perbandingan, model 2.0 Active yang dijana oleh enjin Smartstream G2.0 MPI hanya menghasilkan 149 PS dan tork maksima 180 Nm, digandingkan dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (iVT), iaitu transmisi CVT yang menggunakan rantai berbanding tali sawat metalik pada sistem konvensional.

Dari segi penggayaan, model 1.6 Turbo masih menampilkan rupa yang hampir sama dengan varian 2.0 Active. Ia diberikan pelindung-pelindung badan plastik berwarna hitam yang dipadankan pada bampar hadapan dan belakang, sekeliling ruang roda dan di sepanjang bendul sisi badan. Apa yang berbeza, model 1.6 Turbo ini diberikan rel bumbung serta warna badan dua tona menampilkan bumbung berwarna hitam.

Berbanding model sebelumnya, versi facelift ini menampilkan bampar hadapan rekaan baharu dengan lampu utama (pada bampar) yang direka semula, gril atas lebih pendek dan lebar serta gril bawah lebih besar, manakala logo ‘H senget’ diletakkan di atas gril berbanding pada gril pada model pre-facelift.

Bagi versi N Line pula, ia lebih menyerupai Kona pre-facelift kerana menggunakan logo di tengah gril dan masih mempunyai jalur bukaan udara di atasnya (tetapi sekarang dibahagikan kepada tiga). Skid plate pada model biasa diganti dengan lip aerodinamik, berserta hujung seperti sirip dan bukaan udara yang lebih besar. Di belakang, Kona N line diberikan diffuser besar berwarna hitam bersama dua muncung ekzos di bahagian tepi.

Hyundai Kona 1.6 Turbo (kiri) dan Kona N Line 2021 (kanan)

Model N Line yang lebih garang ini juga menampilkan kemasan pelindung badan pada sekeliling ruang roda dilayangkan dengan warna badan. Manakala dalam kabin, kesemua Kona facelift kini menampilkan brek parkir elektronik, terowong tengah lebih tinggi serta liang pendingin hawa rekaan baharu.

Model 1.6 Turbo dibekalkan dengan kelengkapan standard yang terdiri dari rim aloi 18-inci, lampu hadapan LED penuh, lampu belakang LED, lampu kabus, paparan meter digital dengan skrin Supervision 10.25-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, enam pembesar suara, tempat duduk kulit dan pendingin hawa automatik zon tunggal.

Ia juga dibekalkan dengan tempat duduk pemandu larasan kuasa, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. pengecas telefon pintar tanpa wayar, pedal penukar gear pada roda stereng, sistem pepura stop & go pada enjin dan juga sistem pemantau tekanan angin tayar.

Spesifikasi Hyundai Kona 2021 (klik untuk besarkan)

Manakala bagi Kona N Line pula, ia menerima rim aloi 18-inci tetapi dengan rekaan lebih istimewa, serta tingkat taraf ciri seperti tempat duduk bucket balutan kulit dan sued, pelapik bumbung berwarna hitam, serta tempat duduk hadapan dengan liang dan pemanas bersama larasan berkuasa untuk penumpang.

Kedua-dua varian Kona paling berkuasa ini datang lengkap dengan teknologi bantuan pemanduan dan keselamatan aktif Smartsense. Ini termasuk Penghindar Perlanggaran Titik Buta (BCA) dengan Bantuan Penghindar Litasan Trafik Di Belakang (RCCA), Bantuan Mengekalkan Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lorong (LFA) dan Kawalan Melayar Pintar (SCC) dengan ciri Stop/Go yang membolehkan ciri SCC berkenaan kekal tidak terbatal walaupun kenderaan berhenti sepenuhnya.

Lain-lain ciri termasuk Bantuan Penghindar Perlanggaran Depan (FCA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW) dengan Amaran Pergerakan Kenderaan Depan (LVDA), Amaran Penumpang Belakang (ROA), Amaran Keluar Selamat (SEW) dan Bantuan Lampu Tinggi (HBA). Semua ini juga ada pada varian 2.0 Active, tetapi SCC hanya khusus untuk varian turbo sahaja.

GALERI: Hyundai Kona 1.6 Turbo 2021

GALERI: Hyundai Kona N Line 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required