Proton Saga Aerokit – kit talaan lengkap dari Eon Motorsport untuk Saga Aeroback satu ketika dulu!

Proton Saga Aerokit – kit talaan lengkap dari Eon Motorsport untuk Saga Aeroback satu ketika dulu!

Petronas EON Racing Team atau PERT, pasukan yang dikendalikan oleh sayap perlumbaan pengedar tunggal Proton pada era 80’an dan 90’an, EON Motorsport bukan sahaja bertugas sebagai ‘iklan bergerak’ bagi mempromosikan kereta-kereta Proton dalam dunia perlumbaan. Malah sebenarnya mereka turut bertindak sebagai badan penala rasmi untuk Proton, menyediakan pelbagai pilihan aksesori dan peralatan prestasi untuk pemilik-pemilik kereta jenama nasional berkenaan.

Brosur yang anda lihat ini adalah salah satu produk Eon Motorsport, yang digelar sebagai Saga Aerokit yang dibangunkan untuk Saga Iswara Aeroback. Terima kasih kepada saudara Abdul Amirul Hadi Masshoud kerana menyimpan brosur ini dengan begitu baik dan sudi berkongsinya dengan kita semua. Mana Amirul Hadi dapat brosur ini? Dia adalah anak kepada salah seorang kru Eon Motorsport dan PERT, Md Masshoud bin Umar.

Proton Saga Aerokit ini bukan sahaja menampilkan kit badan yang agak agesif untuk Proton Saga Iswara, malah ia juga datang sekali dengan beberapa perincian prestasi. Seperti yang anda boleh lihat, kit badan gentian kaca Aerokit ini menjadikan Saga Iswara berkenaan lebih lebar dari biasa.

Proton Saga Aerokit – kit talaan lengkap dari Eon Motorsport untuk Saga Aeroback satu ketika dulu!

Kit berkenaan dipadankan pada keempat-empat ruang roda, bukan sahaja membuatkan ia kelihatan lebih berotot, malah di belakang ruang roda standard yang sepatutnya ‘petak’ kini kelihatan lebih bulat dengan panel tambahan yang turut meliputi sebahagian besar pintu belakang.

Bagi menyempurnakan rupanya, kit ini juga hadir dengan skirt sisi lebih labuh dan lebar serta rim aloi berdiamter 14-inci bersama tayar siri 60. Selain dari itu, kit ini juga menawarkan tingkat taraf untuk sistem ekzos, meliputi manifold, paip logam tahan karat dan juga tip ekzos yang lebih sporty.

Eon Motorsport bukan hanya menawarkan kit ini kepada Iswara Aeroback, malah ia terlebih dahulu ditawarkan untuk model Saga Aeroback Megavalve terdahulu. Untuk Saga Megavalve, kit ini turut menampilkan bampar hadapan dan belakang lebih labuh yang kelihatan lebih agresif.

Dari segi rupa, Saga Aerokit ini sebenarnya diinpirasikan dari jentera perlumbaan ‘Super Saga’ yang mengegar litar Shah Alam satu ketika dahulu. Super Saga ini merupakan versi yang jauh lebih berkuasa dari ‘Saga Clubman’ yang masih menggunakan karburator asal, di mana ia menerima pengubahsuaian yang jauh lebih ekstensif seiring dengan spesifikasi FIA Group A, menampilkan penggunaan karburator perlumbaan Weber DCOE berkembar atau sistem suntikan bahan api dengan unit pengurusan enjin Haltech, serta pengubahsuai ekstrem pada suspensi, transmisi dan lain-lain.

Ketika dilancarkan, kit untuk Saga Iswara ini dijual pada harga RM7,000. Dan menurut Eon Motorsport, sistem ekzos Saga Aerokit ini telah dibangunkan dan diuji bersama sayap perlumbaan Mitsubishi iaitu Ralliart, membolehkan 10% kuasa lebih diekstrak berbanding Saga biasa.

Selain pemasangan, Eon Motorsport turut menawarkan khidmat untuk menyembur semula keseluruhan badan pelanggan yang memilih Saga Aerokit ini menggunakan warna 2K berkualiti tinggi dengan caj tambahan. Seperti yang anda boleh lihat dalam brosur tersebut, Eon Motorsport turut menawarkan pakej ubahsuai lain termasuk sistem suspensi, kit pengecas turbo, kit perlumbaan litar dan kit perlumbaan rali untuk kereta-kereta Proton!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required