Sebelum ini, Kia yang kini diuruskan oleh Bermaz dilaporkan akan memperkenalkan MPV Carnival generasi terkini di Malaysia terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) pada Disember 2021. Namun disebabkan pelbagai masalah akibat pandemik Covid-19, rancangan tersebut nampaknya akan ditangguhkan sehingga ke Mei 2022.

Menurut laporan RHB Investment Research, langkah ini diambil berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kedah (negeri di mana kenderaan-kenderaan Kia dipasang dalam negara) baru sahaja ditamatkan. Ia bukan sahaja menjejaskan Carnival, malah rancangan untuk memasang SUV segmen-B Kia Seltos juga akan ditangguh sehingga suku kedua 2022, menurut laporan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, penangguhan pengenalan Carnival CKD ini masih lagi berada dalam landasan awal yang telah ditetapkan. Ketika Bermaz mengumumkan kerjasama dengan Kia April lalu, pengerusi eksekutif syarikat berkenaan Datuk Seri Ben Yeoh menyatakan bahawa mereka hanya boleh memulakan operasi CKD dalam tempoh 12 hingga 18 bulan selepas itu.

Bermaz mewujudkan syarikat baharu iaitu Dynamikjaya Motors bagi mengendalikan jenama Kia di Malaysia. Satu lagi syarikat yang baharu yang diwujudkan adalah Kia Malaysia, iaitu entiti yang akan memasang kenderaan Kia di Malaysia di mana 60% sahamnya dimiliki oleh Kia di Korea Selatan.

Kenderaan-kenderaan berkenaan akan dipasang di kilang Inokom yang terletak di Kulim, bagi menggantikan tugas kilang milik Naza di Gurun sebelum ini. Ini kerana kilang di Gurun berkenaan kini secara majoritinya dimiliki oleh Stellantis (selepas Groupe PSA membentuk pakatan baharu dengan Fiat Chrysler Automobiles) dan ia hanya memasang kenderaan jenama Peugeot, yang kini turut diselia oleh Bermaz di Malaysia.

Bermaz memiliki 29% kepentingan dalam Inokom dan akan menggunakan kapasitinya dalam kilang berkenaan untuk memasang Kia. Fasiliti tersebut turut akan menjadi hab produksi serantau Kia dengan harapan dapat mengeksport produknya ke negara lain dalam Asia Tenggara.

Syarikat yang sebelum ini dikenali kerana menguruskan jenama Mazda tersebut juga menyatakan bahawa mereka bukan hanya akan membawakan produk-produk baharu dari Kia ke Malaysia, malah turut akan memfokuskan aspek penambahbaikkan terhadap servis selepas jualan dengan mendengar respon dari pemilik Kia sedia ada.

“Permintaan dari pelanggan adalah sangat penting buat kami. Keutamaan kami adalah untuk terus berhubung dengan pelanggan sedia ada, lihat apa yang mereka rungutkan dan cuba atasi rungutan tersebut,” kata Yeoh.

“Pelanggan yang gembira akan menentukan masa hadapan jenama. Kami akan [memenuhi jangkaan pelanggan] dengan menaik taraf kedua-dua sumber manusia dan fasiliti kami, agar [servis selepas jualan kami] disenangi pelanggan dan [kami boleh] memberikan mereka pengalaman tanpa masalah, seperti yang telah kami buat terhadap jenama lain sebelum ini,” tambahnya lagi.

Sebelum model-model CKD ini dilancarkan, Dinamikjaya kini sedang menghabiskan stok-stok kenderaan Kia dalam inventori yang ditinggalkan oleh pengedar jenama Korea tersebut sebelum ini iaitu Naza. Jualan model import CBU baharu juga perlu ditangguh dahulu sebelum syarikat berkenaan menemui pengimport baharu, manakala fokus utama mereka sekarang adalah untuk memperkuatkan aspek servis selepas jualan.

Kia Carnival generasi keempat tersebut sudah pun dilancarkan di Thailand baru-baru ini dalam versi kemaskini 2022, serta sudahpun menggunakan logo baharu Kia. Buat masa sekarang, Carnival pasaran Thailand berkenaan diimport sepenuhnya dari Korea dan dijual pada harga bermula 2,045,000 baht (RM233,100) hingga 2,495,000 baht (RM308,700). Ia dijangka akan lebih murah selepas ini apabila Thailand mula menerima stok Carnival mereka dari Malaysia.

GALERI: Kia Carnival 2022 pasaran Thailand