Beberapa hari ini dilaporkan harga minyak mentah di pasaran global meningkat semula, mencecah AS$80 (RM334.24) satu tong. Perkara ini turut menjadi kebimbangan rakyat kita yang gusar sekiranya harga runcit bagi tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel bakal mengalami kenaikan.
Walau bagaimana pun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerajaan sentiasa mengkaji dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan beban rakyat ekoran perkara itu. Tambahnya, kerajaan turut meneliti pelbagai perkara kepentingan pengguna walaupun Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memutuskan negara perlu meningkatkan pengeluaran petroleum, laporan Berita Harian.
“Mesyuarat OPEC malam tadi, memutuskan supaya kita meningkatkan pengeluaran petroleum kepada 400,000 tong sehari. Ia bagi menstabilkan harga minyak mentah di pasaran global dan akan berlangsung dalam tempoh beberapa bulan.
“Ini penting kerana pada 1 Okober lalu, harga minyak mentah di pasaran global mencecah AS$80. Seperti kita sedia maklum harga siling diesel RM2.15 dan petrol RON95 RM2.05 per liter. Dalam hal ini, kerajaan sentiasa mengkaji perkara ini dengan mengambil kira pelbagai aspek bagi mengurangkan beban pengguna di Malaysia,” katanya.
Kenyataan beliau ini adalah bagi menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) berhubung keadaan sekuriti krisis tenaga global dan hala tuju bagi meningkatkannya di negara ini pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.