Dengan semakin banyak kelonggaran diberikan kerajaan bagi membolehkan aktiviti perniagaan beroperasi semula, jualan automotif di Malaysia juga dilihat naik secara drastik bulan lalu. Bagi Proton, jualan bulan penuh pertama selepas PKP ini juga sudah mencatatkan lima angka, dengan catatan sebanyak 10,380 unit kereta baharu telah berjaya dihantar kepada pelanggan sepanjang September 2021.

Walau bagaimanapun, Proton biasanya menggabungkan jualan domestik dan eksport dalam data jualan bulanannya, dan mungkin jualan tempatan tidak sampai 10,000 unit. Dengan jumlah tersebut, Proton masih berada di kedudukan kedua manakala Perodua juga kekal di atas dengan jualan 14,160 unit sepanjang bulan lalu.

Menurut Proton, pegangan pasarannya kini dianggarkan sekitar 23.9% yang bersandaran kepada anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sekitar 43,500 unit. Secara keseluruhan, pegangan pasaran syarikat tersebut bagi 2021 berada kini berada pada 23%, dan dilihat lebih tinggi berbanding angka penutup sebanyak 20.7% tahun lalu.

Dari keseluruhan jualan model paling mampu milik jenama tersebut iaitu Saga menyumbang jualan paling banyak dengan angka 3,907 unit. Angka tersebut menunjukkan bahawa sedan berkenaan bukan sahaja model paling laris dari Proton dan juga mendahului saingan model segmen-A lain dalam pasaran, malah ia juga sebenarnya model paling laris di Malaysia sepanjang bulan lalu.

Model-model SUV Proton juga kekal menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan 2,431 unit Proton X50 dan 1,577 unit Proton X70 sudah diserahkan kepada pelanggan sepanjang September, dan kedua-dua model tersebut terus berada di kedudukan pertama segmen masing-masing. Secara keseluruhan, 27,312 unit SUV telah dijual oleh Proton pada tahun 2021, bersamaan 37.4% jualan keseluruhan tahunannya sebanyak 73,017 unit.

Pasangan segmen-B sedan Persona dan hatchback Iriz juga menunjukkan momentum yang baik pada bulan lalu. Kedua-dua model yang baru sahaja diperkenalkan dalam versi facelift pada Ogos lalu masing-masing dijual sebanyak 1,440 unit bagi Persona dan 749 unit untuk Iriz (termasuk varian psedo-SUV Iriz Active baharu).

“Kami amat berpuas hati dengan pencapaian baik Proton pada bulan September. Sebenarnya, kami mampu untuk menjual lebih dari 10,380 unit yang diperolehi, tetapi konteks harus diberikan kepada prestasi kami kerana Malaysia dalam proses pemulihan pandemik yang masih lagi memberi kesan kepada pembekal-pembekal industri automotif. Situasi kini bertambah baik, tetapi kekurangan bekalan cip dan komponen lain adalah isu yang tidak akan selesai dalam masa yang singkat, jadi kami harus berhati-hati apabila membuat anggaran jualan kerana kapasiti produksi tertakluk kepada perubahan semasa,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

“Oleh itu, bagi tiga bulan akhir tahun ini, Proton akan menumpukan perhatian untuk menyerahkan sebanyak mungkin kenderaan kepada pelanggan yang telah mebuat tempahan. Menyelesaikan masalah permintaan yang tertangguh akan membolehkan lebih banyak jualan pada tahun hadapan dan membantu kita untuk maju kehadapan dengan perancangan untuk meluaskan lagi rangkaian produk yang boleh diberikan kepada pasaran tempatan dan eksport,” tambahnya lagi.

Proton turut menyatakan bahawa semua rangkaian jualan dan pusat servisnya telah dibuka di seluruh negara berikutan semua negeri telah berada pada Fasa 2 atau lebih dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Oleh itu syarikat berkenaan mengalu-alukan pelanggan yang telah mendapat vaksinasi penuh untuk ke bilik pameran bagi melihat dan memandu uji semua produk mereka, dalam masa yang sama semua operasi akan dikawal dengan SOP ketat untuk memastikan jumlah orang yang terhad di dalam premis.

“Sementara kita menyaksikan pertumbuhan pada angka tempahan dalam talian, Proton dan wakil jualannya telah membuat pelaburan besar untuk menambah baik rangkaian jualan dan servis sejak beberapa tahun lalu. Pengalaman jenama terbaik masih diberikan secara peribadi, jadi kami telah adaptasi prosedur operasi baharu bagi menyesuaikan diri dalam situasi pandemik,” kata Roslan lagi.