PANDANGAN AWAL: Super Soco TC dan TSx – jentera dua roda elektrik dengan jarak gerak maksimum 75 km

PANDANGAN AWAL: Super Soco TC dan TSx – jentera dua roda elektrik dengan jarak gerak maksimum 75 km

Dalam usaha untuk menjadikan dunia lebih mesra alam kurang kebergantungan kepada bahan api, semakin banyak kenderaan yang sudah mula beralih dari enjin pembakaran dalaman kepada sumber alternatif seperti elektrik, hidrogen dan beberapa lagi yang lain.

Selain daripada kereta, motosikal juga tidak terkecuali. Semakin banyak pengeluar motosikal elektrik muncul dan diterima baik oleh pengguna di negara yang mempunyai sokongan kenderaan elektrik baik seperti Eropah.

Salah satu yang semakin menempa nama adalah Super Soco keluaran VMoto dari Shanghai, China. Jenama ini bukannya sahaja popular di negara mereka sendiri, malah sudah menembusi pelbagai negara seperti Itali, Turki, Australia dan Netherlands.

Jangan terperanjat, motosikal elektrik Super Soco juga sebenarnya sudah tiba di Malaysia, tetapi ia cuma belum dijual secara rasmi. Jika anda antara yang tidak sabar untuk mendapatkan motosikal ini, kami ada berita baik. Pengedar rasmi jenama ini di Malaysia sedang berusaha keras untuk menjadikan motosikal elektrik ini ‘halal’ digunakan atas jalan raya.

Mereka meletakkan sasaran melancarkan dua model terawal iaitu TC dan TSx dalam tahun ini, dan sekarang sedang menunggu Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Setakat yang diberitahu, cukai jalannya adalah minimum dan memerlukan insurans seperti motosikal kapasiti rendah biasa.

PANDANGAN AWAL: Super Soco TC dan TSx – jentera dua roda elektrik dengan jarak gerak maksimum 75 km

Walaupun sudah mencuba beberapa motosikal elektrik sebelum ini, kami rasa ingin tahu bagaimana prestasi produk Super Soco ini, lalu menghubungi pengedarnya untuk melihat secara dekat dan menguji secara ringkas (memandangkan ia masih belum didaftar).

Dua model yang disediakan adalah TC dan TSx. Bentuk keduanya mungkin berbeza, iaitu TC dengan gaya klasik manakala TSx dengan gaya motosikal naked tipikal, tetapi pakej kuasanya adalah sama, iaitu bateri lithium 60V30Ah, serta motor elektrik 1900W keluaran Bosch.

Kalau mengikut data atas kertas, motosikal ini boleh menghasilkan kuasa 1900 W dan 150 Nm tork. Mungkin ada yang melihat jumlah ini seperti membuka mata, tetapi pada pendapat kami, untuk membandingkannya dengan motosikal enjin biasa, kuasanya seperti kurang sedikit daripada model berenjin 70 cc.

Super Soco sendiri menyatakan dua model ini lebih padan digunakan di kawasan urban atau padat, dengan kelajuan maksimum yang hanya boleh mencecah 70 km/j dalam mod 3. Motosikal ini menyediakan tiga mod, dan mod 1 adalah yang paling tenang dan menggunakan kurang tenaga.

Sebagai sebuah motosikal elektrik, sudah tentu, terjahannya boleh dirasakan terus sebaik pendikit dipulas, tetapi ia mula rasa mendatar apabila tiba lebih 40 km/j. Untuk mencapai 60 km/j juga kami rasakan agak susah, melainkan keadaan jalan menuruni bukit.

Disebabkan ini bukan model prestasi, mari kita lihat pula aspek praktikaliti. Pek bateri TC dan TSx terletak di bahagian atas, iaitu bahagian yang biasanya menempatkan tangki minyak bagi motosikal biasa, dan ia boleh ditarik keluar untuk dicas.

Bermakna, jika anda tiba di rumah atau pejabat, anda boleh mengeluarkan pek bateri ini dan membawanya ke dalam rumah atau pejabat untuk dicas (mahu kami ingatkan ia tidaklah begitu ringan, mungkin sekitar 20 kg). Jika menggunakan pengecas biasa single phase tiga pin yang disediakan di rumah, ia akan mengambil masa enam jam untuk penuh.

Memandangkan ini adalah pek bateri yang kecil, ia cuma boleh memberikan jarak gerak maksimum 75 km apabila menggunakan mod 1, dengan kelajuan purata 45 km/j. Kami membayangkan, sekiranya perjalanan harian anda cuma di dalam kawasan padat dan tidak terlalu jauh, anda tidak perlu risau untuk menggunakan motosikal ini.

Walaubagaimanapun, itu bukanlah tahap maksimum yang boleh dicapai dan Super Soco telah menyediakan penyelesaian lain jika anda memerlukan jarak gerak yang lebih jauh. Anda boleh memasukkan satu lagi pek bateri (menjadikannya dua di dalam satu motosikal) di tempat yang disediakan, dan jarak geraknya akan berganda.

Apabila menunggang motosikal ini, kaki anda tidak perlu berbuat apa-apa, sementara tuil yang disediakan pada pemegang adalah untuk brek, iaitu brek hadapan di bahagian kanan dan kombinasi brek hadapan dan belakang di bahagian kiri. Kedua-dua brek pada roda motosikal ini menggunakan set cakera.

PANDANGAN AWAL: Super Soco TC dan TSx – jentera dua roda elektrik dengan jarak gerak maksimum 75 km

Meter paparan informasi pada dua motosikal ini adalah berbeza, mengikut konsep reka bentuknya. TC menggunakan meter kombinasi digital dan analog yang berbentuk bulat, sementara TSx pula menggunakan meter digital penuh bersegi. Melaluinya, selain kelajuan, anda juga boleh melihat tahap bateri, baki jarak gerak serta suhu bateri.

Untuk menghidupkan dan membuka kunci motosikal ini, anda tidak perlu memasukkan sebarang kunci. Ia menggunakan sistem tanpa kunci, dan apa yang perlu dilakukan cuma menekan butang pada alat kawalan jauh, dan kemudiannya menekan butang pemula di bahagian atas tempat penutup bateri.

Sekiranya tidak menekan butang pada alat kawalan jauh itu, anda bukan sahaja tidak boleh menghidupkan motosikal, tetapi untuk menggerakkannya juga tidak boleh kerana motor elektrik yang terdapat pada hab roda belakang terkunci.

Kelengkapan lain yang terdapat pada dua motosikal ini adalah seperti fork USD di hadapan, monoshock di belakang, lampu jenis LED, rim 17 inci serta tinggi tempat duduk 776 mm untuk TC dan 770 mm untuk TSx.

Sekiranya anda sudah rasa berminat, ingin juga kami beritahu bahawa beberapa lagi model lain Super Soco juga sedang melalui proses kelulusan yang sama untuk dilancarkan ke dalam pasaran. Harga bagi TC dan TSx ini dijangka berada dalam lingkungan RM16k sementara harga model lain pula bergantung kepada kapasiti bateri serta kemampuannya (bateri yang lebih besar untuk memberikan lebih jarak dan motor yang lebih berkuasa akan dijual pada harga lebih tinggi).

GALERI: Super Soco TC

GALERI: Super Soco TSx

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required