Susulan cuti hujung minggu dan cuti umum sempena Maulidur Rasul pada Selasa hadapan, pastinya ramai yang merancang untuk merentas negeri, termasuk pulang ke kampung halaman atau pergi bercuti ke destinasi pilihan. Malahan kesesakan trafik juga dijangka bakal berlaku di kebanyakan lebuhraya utama, maka rancanglah perjalanan anda sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) selaku pemegang konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) turut menjangkakan keadaan trafik memasuki bahagian pulau dan Seberang Perai di Pulau Pinang akan meningkat pada tempoh tersebut.

Justeru, pengguna dinasihati merancang perjalanan, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan, serta patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

JKSB turut memaklumkan, pihaknya bersedia dari segi operasi dengan menyediakan lapan lorong tol merangkumi perkhidmatan Smart Tag, Touch N Go dan RFID bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan para pengguna, laporan Bernama.

“JSAHMS juga menawarkan ciri-ciri keselamatan yang terbaik demi keselesaan pengguna seperti laluan khas kepada penunggang motosikal. Selain itu, JSAHMS juga bertindak sebagai laluan alternatif untuk ke bahagian utama pulau seperti Batu Maung, Bayan Lepas, Balik Pulau dan Georgetown.

“Malahan dengan kadar tol sebanyak RM 5.74 bagi Kelas Satu merangkumi kenderaan persendirian atau penumpang, justeru JSAHMS adalah pilihan untuk pengguna keluar masuk dari atau ke bahagian pulau. Ini kerana ia adalah direct dual carriageway yang menghubungkan secara terus Batu Kawan kepada bahagian utama pulau dan menghubungkan Batu Kawan secara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas,” ujar JKSB

JKSB turut berkata, walau pun JSAHMS terletak lebih jauh daripada mod lintasan yang lain tetapi jika dipertimbangkan dari segi kesenangan pengguna, JSAHMS adalah alternatif terbaik.