Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah memaklumkan sebanyak 566,760 kes kemalangan dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh Mac 2020 hingga pertengahan Oktober 2021. Di mana ia turut menunjukkan trend peningkatan setiap kali peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim, daripada keseluruhan kes direkodkan sejak 18 Mac 2021 hingga 13 Oktober 2021, sebanyak 5,412 kes melibatkan kemalangan maut dengan merekodkan sejumlah 5,739 kematian. Tambahnya, jumlah nahas jalan raya menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa ketika peralihan fasa PKP sejak ia dilaksanakan bermula Mac tahun lalu.

“Saya mengambil data bagi pelaksanaan PKP 1 yang merekodkan sebanyak 5,948 kemalangan, membabitkan 51 kemalangan maut dan 58 kematian, manakala PKP 2 pula mencatatkan 4,693 kemalangan meliputi 54 kemalangan maut serta 56 kematian.

“Bagi tempoh PKP 3 pula, sebanyak 6,011 kemalangan direkodkan, membabitkan 63 kemalangan maut dan 65 kematian, manakala ketika PKPP pula, sebanyak 102,240 kemalangan dilaporkan dengan 835 kemalangan maut serta 907 kematian,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Katanya, terdapat tiga punca utama menyebabkan kemalangan maut iaitu terbabas sendiri, kecuaian dan cubaan memotong atau tukar laluan.

“Tindakan penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi menentukan kepatuhan pengguna kepada peraturan serta undang-undang jalan raya, sekali gus mengurangkan kes kemalangan termasuk kemalangan maut. Kebenaran rentas negeri ketika ini juga akan memberikan impak baharu kepada aliran trafik di semua jalan raya dan peningkatan kadar kemalangan berdasarkan trend semasa,” katanya.

Beliau turut menambah pihak polis juga mencadangkan supaya pengguna jalan raya mengamalkan kawalan kendiri yang tinggi serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“JSPT akan melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya bagi mengurangkan kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut ekoran pertambahan jumlah kenderaan. Langkah ini membabitkan semua lapan operasi utama JSPT yang akan dipertingkatkan,” katanya.

Selain itu, Mat Kasim berkata, penguatkuasaan JSPT yang menyeluruh akan digunakan bagi menyuraikan kesesakan aliran kenderaan di semua jalan raya.

“Ia dibuat selepas mengambil kira pertambahan jumlah kenderaan yang dijangka berlaku dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila peraturan dilonggarkan. Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menentukan diri kekal cergas semasa pemanduan,” katanya.