Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengeluarkan amaran untuk individu yang tidak mengendahkan nasihat polis dan masih berdegil menunggang skuter elektrik atau e-skuter di di atas jalan raya boleh didenda atau penjara jika mengulangi perbuatan itu buat kali kedua.

Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim, amaran ini dikeluarkan selepas pihak polis menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai tindakan penunggang e-skuter menunggang di jalan raya di bandar.

Tambahnya, penggunaan e-skuter di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan di ibu negara adalah dilarang dan tindakan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar.

“Penggunaan e-skuter hanya dibenarkan di tempat yang digazetkan seperti di taman permainan, kawasan pejalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah di ibu negara. Sehubungan dengan itu penunggang e-skuter tidak dibenarkan menggunakannya di atas jalan raya kerana ia mengganggu pengguna jalan raya yang lain, boleh mendatangkan bahaya atau terlibat dengan kemalangan jalan raya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

Mat Kasim berkata, JSPT akan memantau orang ramai yang bermain skuter itu di atas jalan raya dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Namun begitu pendekatan advokasi akan dijalankan dan hanya menasihatkan terlebih dahulu. Setelah dikuatkuasakan, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 54 APJ 1987 dengan kesalahan pertama didenda sebanyak RM300 dan kesalahan kedua, boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara tiga bulan,” katanya.

Baru-baru ini tular di laman media sosial video yang merakamkan aksi seorang lelaki yang selamba menunggang e-skuter di sebuah kawasan jalan raya yang sibuk dengan trafik. Walau bagaimana pun, tindakan ‘berani mati’ lelaki berkenaan menerima kecaman netizen kerana aksinya yang boleh mengundang kecelakaan. Pada 1 Januari 2021, polis telah mengeluarkan larangan penggunaan e-skuter di jalan raya sekitar ibu kota.