Sudah rasmi, Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) mengesahkan akan melancarkan Kona Electric hujung November ini. SUV berkenaan akan menjadi model elektrik sepenuhnya yang pertama untuk Hyundai yang diperkenalkan di Malaysia.

Tiga varian telah disahkan. Paling asas ialah model 39.2 kWh — dengan jarak pemanduan 305 km (WLTP cycle) — boleh didapati dalam versi e-lite atau e-plus, sementara penawaran yang paling tinggi e-max 64 kWh memberikan 484 km jarak perjalanan.

Harga dijangka berada di bawah RM150k, menjadikannya model EV paling mampu milik dalam pasaran tempatan ketika ini. Ambil maklum harga berkenaan sudah termasuk pengecualian duti import dan eksais, seperti yang dinyatakan oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022.

Motor elektrik model paling asas merupakan unit 136 PS sementara model 64 kWh menerima motor lebih berkuasa dengan 204 PS. Kedua-duanya mempunyai 395 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 9.9 saat bagi versi 39.2 kWh dan 7.9 saat bagi versi 64 kWh. Kelajuan maksimum masing-masing adalah 155 km/j dan 167 km/j.

Bagi pengecasan, pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dengan pengecas 50 kW memerlukan masa 48 minit bagi model 39.2 kWh, atau 64 minit bagi versi 64 kWh. Dengan pengecas 100 kW pula, ia memerlukan masa 47 saat bagi kedua-dua bateri, jelas Hyundai.

Pengecasan AC biasa dengan pengecas 7.2 kW onboard fasa-tunggal dari 10% hingga 80% memerlukan masa enam jam bagi model paling asas, dan sembilan jam 15 minit bagi versi 64 kWh. Tempoh mengecas masing-masing akan jadi empat jam 20 minit dan enam jam 50 minit dengan pengecas onboard tiga-fasa 11 kW.

Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung memaklumkan: “Pengecualian duti import yang diumumkan itu bagi kami akan menggalakkan lagi minat terhadap EV di Malaysia. Ketibaan Kona Electric tepat pada masanya dan akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang mahukan kenderaan mesra alam untuk mengurangkan jejak karbon.”

Jika berminat, tempahan sudah mula dibuka kini, dan anda boleh menempah dengan hanya RM1,000 sahaja. Klik pautan ini untuk pengalaman kereta elektrik anda.