Mercedes-Benz Vito Tourer facelift dilancar di Malaysia – enjin 2.0L turbo petrol, 10 tempat duduk, RM342k

Mercedes-Benz Vito Tourer facelift dilancar di Malaysia – enjin 2.0L turbo petrol, 10 tempat duduk, RM342k

Mercedes-Benz Vito Tourer kini sudah pun tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam satu varian sahaja, iaitu Select 121, dengan harga jualan RM342,036.40 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Boleh dianggap sebagai V-Class versi komersial, Vito Tourer ini dijual oleh Hap Seng Star (HSS), yang sudah mengambil alih perniagaan kenderaan komersial Mercdes-Benz Malaysia (MBM) sejak tahun 2018. Berikutan itu, semua penjualan serta khidmat selepas jualan bagi Vito Tourer ini dikendalikan oleh pusat pameran dan servis HSS.

Vito Tourer tiba di Malaysia dalam versi facelift terkini, di mana bahagian luarnya menggunakan gril baru. Selain daripada itu, penampilannya masih sama seperti model sebelumnya, dan mempunyai ukuran 5,370 mm panjang, 2,244 mm lebar dan 1,958 mm tinggi – lebih panjang berbanding V-Class.

Meskipun model ini memberikan fokus kepada penumpang, ia masih mempunyai beberapa tanda sebagai sebuah kenderaan komersial, seperti bampar yang tidak mempunyai lampu kabus (tetapi perumahnya masih ada), serta cermin sisi dan pemegang pintu berwarna hitam.

Mercedes-Benz Vito Tourer facelift dilancar di Malaysia – enjin 2.0L turbo petrol, 10 tempat duduk, RM342k

Dengan catatan jarak roda 3,430 mm, Vito Tourer menyediakan tempat duduk untuk sehingga 10 orang, yang disusun melalui tetapan 2-3-2-3. Hasil daripada penggunaan sistem tel dan cagak mudah cabut, tempat duduk baris keempat boleh dicabut untuk memberikan susunan tujuh tempat duduk dan boleh disusun mengikut kesesuaian pengguna.

Jika dibandingkan dengan V-Class, Vito Tourer ini menggunakan rekaan papan pemuka tersendiri dan bahagian dalamnya dilengkapi tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dan fungsi memori, balutan kulit, panel kawalan di atas, pengawal suhu Thermotronic, pengawal suhu Tempmatic separa automatik di belakang, serta skrin sesentuh tujuh inci Audio 30 dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain daripada itu, ia juga mendapat rim 17 inci, pintu gelungsur belakang bukaan kuasa (kiri dan kanan), LED Intelligent Light System dengan High Beam Assist Plus, pengelap cermin automatik, kamera undur dan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

Sistem keselamatan dan bantuan pemandu juga agak lengkap, dengan ciri seperti Active Brake Assist (AEB), Active Distance Assist Distronic (Active Cruise Control), Attention Assist, Blind Spot Assist, Crosswind Assist, Hill-Start Assist, Lane Keeping Assist, Lane Tracking Package dan Parktronic yang diberikan secara standard.

Di bawah bonetnya terdapat enjin petrol empat silinder 2.0L turbo M274 yang dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan untuk menghasilkan kuasa 211 PS (208 hp) pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork dari 1,300 hingga 4,000 rpm – dihantar ke roda belakang (RWD).

Empat warna disediakan sebagai pilihan, termasuk Obsidian Black Metallic, Rock Crystal White Metallic, Graphite Grey Metallic dan Cavansite Blue Metallic. Kenderaan ini datang dengan jaminan pengeluar selama dua tahun dan jaminan insurans tambahan Allianz selama dua tahun. Tempoh selang servis Vito Tourer adalah 10,000 km/satu tahun, dan berbeza berbanding 12,000 km/satu tahun untuk kenderaan penumpang biasa Mercedes-Benz.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required