Syarikat perkhidmatan penghantaran ekspres dan logistik tempatan, GD Express Carrier Bhd (GDEX) telah mula memperkenalkan penggunaan motosikal elektrik dalam operasinya di Malaysia. Menurut syarikat tersebut, ini adalah sebahagian daripada inisiatif Go Green yang telah dirancang.
GDEX menyatakan bahawa penggunaan kenderaan elektrik (EV) adalah sejajar dengan matlamat negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 seperti yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurut GDEX lagi, penggunaan motosikal elektrik ini juga dilihat lebih jimat kerana kos penyelenggaraannya adalah 50% lebih murah berbanding motosikal konvesional biasa.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Teong Teck Lean berkata logistik dan penggiat dalam perkhidmatan penghantaran memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida dengan meneroka dan mengguna pakai lebih banyak penyelesaian hijau dalam operasi harian.
“Motosikal elektrik menandakan permulaan inisiatif hijau yang dimulakan oleh GDEX dan kami berharap untuk meneruskan kajian dan melaksanakan lebih banyak langkah lestari pada masa hadapan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Teong mewakili kumpulan berkenaan berterima kasih atas inisiatif kerajaan dalam Bajet 2022 untuk menyokong penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia, ia sudah pasti dapat menyokong perjalanan amalan lestari syarikat tersebut.
Selain dari penggunaan motosikal elektrik ini, GDEX turut akan meneroka penggunaan basikal elektrik dan basikal roda tiga selepas ini yang akan memenuhi segmen lokasi yang berbeza seperti kawasan kejiranan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.