Isu kenaikan harga barangan keperluan bukanlah suatu perkara yang asing di negara kita. Saban tahun, pasti ada saja isu ini yang timbul. Pada masa ini, bukan setakat kenaikan harga sayur-sayuran dan telur serta bahan binaan sahaja yang diperkatakan, malah harga alat ganti kenderaan juga dijangka akan meningkat dalam masa terdekat ini.

Perkara ini didedahkan oleh Pengerusi Persatuan Pemilik dan Pengusaha Bengkel Automotif Bumiputera Perak, Hadiman Ariffin yang berkata disebabkan masalah bekalan dan peningkatan kos pengangkutan selepas semua sektor ekonomi dibuka dan rentas negeri dibenarkan sejak 11 Oktober lalu, harga alat ganti kenderaan bagi semua kelas dijangka akan meningkat sehingga 60% dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, peningkatan harga alat ganti termasuk alat ganti terpakai turut menggusarkan pemilik bengkel kenderaan dan secara tidak langsung bakal menekan pemilik kenderaan yang sedang menanggung pelbagai kenaikan harga barang lain ketika ini, laporan Utusan Malaysia.

Menurut beliau lagi, kenaikan tersebut bukan sahaja melibatkan alat ganti baharu tetapi turut melibatkan alat ganti terpakai ekoran kenaikan mendadak cukai import dan caj penghantaran. Di mana masalah tersebut sekali gus bakal memberi kesan kepada pemilik kereta dan pengusaha bengkel termasuk yang turut berdepan risiko gulung tikar.

“Kami sedaya upaya cuba untuk mengelakkan pelanggan terbeban. Namun masalahnya kenaikan agak tinggi sehingga ada alat ganti yang naik lebih daripada 60%. Justeru, sebagai pengusaha, kami perlu ikut harga semasa dan tidak mampu menyerap kenaikan kos.

“Sebagai langkah yang lebih baik, kami sedaya upaya cuba membantu pelanggan termasuk memaklumkan kepada mereka lebih awal harga baharu alat ganti dan mendapatkan persetujuan mereka sebelum meneruskan kerja penyelenggaraan,” katanya.

Laporan akhbar itu juga menyebut, Hadiman turut berkata, peningkatan paling ketara melibatkan gas pendingin hawa yang sebelum ini berharga RM300 satu tong, dijangka meningkat kepada lebih RM400. Manakala harga tayar pula melibatkan kenaikan antara 35 sehingga 60% selain kenaikan harga minyak enjin yang meningkat lebih 15%.

Tambahnya lagi, walaupun berlaku kenaikan kos alat ganti, pengusaha masih memberi jaminan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan milik pelanggan.

“Namun, jaminan dikurangkan kepada enam atau tiga bulan berbanding dahulu selama setahun. Ini kerana terdapat risiko kepada pengusaha bengkel kerana ada alat ganti seperti kompresor pendingin hawa tulen yang tidak diberikan jaminan pengeluar. Walau apa pun kami sebagai pengusaha tetap berikan jaminan kepada pelanggan atas dasar tanggungjawab,” katanya. Walau bagaimana pun, katanya, kos upah membaiki atau menyelenggara kenderaan kekal sama.

Sehubungan itu, Hadiman menggesa kerajaan melakukan pemantauan dalam kalangan pengedar, pembekal, pengeluar dan pengilang bagi mengawal kenaikan harga alat ganti sekali gus mengelakkan pengguna terbeban.

Laporan akhbar tersebut turut mendapatkan pendapat Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, yang berkata pihaknya turut menjangkakan kenaikan tersebut.

Malah jelas beliau, peningkatan kos alat ganti akan memberi kesan kepada sektor automotif pada masa akan datang termasuk penurunan dari segi pembelian.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, kebanyakan pengilang alat ganti kini menyimpan semua stok sedia ada sebagai langkah untuk meningkatkan harga barangan tersebut.

“Berdasarkan risikan, kita telah mengenal pasti pengilang dan mereka yang terlibat dalam bidang ini sedang menyimpan stok dan menimbulkan isu kononnya tiada bekalan alat ganti walhal hanya menunggu masa untuk mengenakan harga baharu kepada pengusaha bengkel kereta.

“Perkara ini sudah dirancang sejak September lalu. Jadi dalam keadaan ini, ia adalah satu perkara yang amat dukacita dan tidak boleh diterima,” tegasnya.