Sebuah lagi EV yang dipertontonkan ketika majlis pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030 di Pusat Persidangan KLCC hari ini ialah Great Wall Motors (GWM) Ora Good Cat. Sebelum ini pernah dilihat di Elmina, Shah Alam, model EV comel berkenaan dari versi pemanduan sebelah kiri dan CBU dari China kini membuat penampilan umum yang pertama di sini.

EV ini sedang menjalani proses akhir untuk mendapat kelulusan daripada kerajaan dan dijangka akan diperkenalkan secara rasmi di Malaysia awal tahun depan. Disebabkan ia dibawa masuk dari China, unit yang sedang anda lihat ini menggunakan sambungan pengecas GB/T untuk pasaran berkenaan bagi pengecasan pantas DC, manakala AC pula menggunakan sambungan Type 2.

Versi yang akan dijual di Malaysia pula akan ditukar dan menggunakan penyambung jenis CCS2 (Type 2 adalah sebahagian daripada ini), sama seperti yang digunakan Ora Good Cat untuk pasaran Thailand. Malahan, spesifikasi Malaysia yang dipamerkan juga sama dengan spesifikasi Ultra yang paling tinggi dijual di negara jiran itu, dengan harga 1.199 juta baht (RM149,857).

Janaan kuasanya dibekalkan oleh motor elektrik di depan yang menghasilkan 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan 210 Nm tork. Ini memberi prestasi 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat dan laju maksimum 152 km/j.

Motor elektrik berkenaan mendapatkan kuasa daripada bateri ternari lithium 63.1 kWh dan boleh mencapai jarak perjalanan 501 km. Mengikut spesifikasi di Thailand, Good Cat boleh dicas menggunakan AC 6.6 kW, dengan cas penuh bagi Ultra mencecah 10 jam. Sementara pengecasan DC (hingga 60 kW) boleh mencapai 0-80% dalam masa empat jam.

Bagi kelengkapan pula, kereta yang dipamerkan ini dilengkapi lampu utama LED, rim 18-inci, sunroof elektrik, sistem tanpa kunci, kemasan dalaman balutan kulit, klustar instrumen digital, sistem infotainmen dengan skrin sentuh, pengecas tanpa wayar, brek parkir elektronik dan kerusi larasan elektrik.

Sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang ada termasuklah bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong, amaran perlanggaran depan, brek kecemasan autonomous, kawalan melayar aktif dengan Stop & Go, tinjauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan lain-lain.

Spesifikasi EV ini untuk pasaran tempatan dijangka akan mirip dengan yang ada untuk pasaran Thailand — dan sudah tentu dengan pemanduan sebelah kanan. Persoalan seterusnya yang lebih penting tentulah berapa harganya. Ora Good Cat dijangka akan dijual di sini pada harga sekitar RM130k bagi model CBU, tetapi ini hanya boleh disahkan sebaik sahaja ia dilancarkan secara rasmi kelak. Apa pandangan anda tentang kereta ini, boleh laris?