Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada pengusaha bengkel kenderaan bermotor agar tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang melampau bagi kerja pembaikan kenderaan ekoran bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.
Menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dan dilaporkan oleh Bernama semalam, peniaga bengkel harus mematuhi Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002, Akta Pelindungan Pengguna 1999.
Beliau turut menegaskan bahawa KPDNHEP akan meningkatkan pemantauan ke atas premis perniagaan kenderaan bermotor dan memberi amaran bahawa peniaga yang mengambil kesempatan boleh disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisma Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.
Azman turut memberitahu bahawa sepanjang 2021, KPDNHEP telah menjalankan sebanyak 570 pemeriksaan terhadap bengkel kenderaan bermotor dan 76 kes telah diambil tindakan dengan nilai kompaun sebanyak RM21,250.
“Pengguna dinasihatkan berhati-hati mendapatkan sebut harga secara bertulis berkaitan jangkaan pembaikan kenderaan daripada peniaga,” katanya sambil menyarankan pengguna mendapatkan perkhidmatan pembaikan di pusat servis kenderaan berkaitan sekiranya kenderaan masih dalam jaminan.
Menurutnya lagi, orang ramai boleh melaporkan sebarang aduan atau maklumat kepada KPDNHEP melalui saluran aduan iaitu WhatsApp 019-279 4317, portal aduan di e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, emel kepada [email protected] dan Ez ADU KPDNHEP.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.