Subaru WRX 2022 – fender flare plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

Subaru WRX 2022 – <em>fender flare</em> plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

Macam-macam komen negatif berkenaan rupa Subaru WRX 2022 ketika sedan prestasi generasi baharu berkenaan didedahkan buat pertama kali pada September lalu, khususnya berkenaan fender flare pada setiap ruang roda yang bukan sahaja bersegi, malah komponen yang diperbuat dari plastik tersebut dibiar hitam tanpa langsung diberikan lapisan cat, membuatkan ia nampak seakan SUV.

Namun menurut Subaru, rupa yang diberikan pada fender flare tersebut, malah mengapa ia tidak dicat mempunyai sebab yang tersendiri dan ia berkaitan dengan fungsi aerodinamik kereta tersebut. Perkara ini disebut oleh pengurus produk Subaru, Micheal Redic kepada media di Amerika Syarikat ketika pelancarannya di sana minggu lalu, lapor Road & Track.

Kalau anda perhatikan, permukaan plastik fender flare yang tidak dicat berkenaan bukannya licin, tetapi dia diberikan tekstur-tekstur berbentuk heksagon. Untuk apa? “Permukaan ini mempunyai bentuk heksagon yang aerodinamik, ia seolah-olah bola golf. Ia berfungsi. Ia direka bagi menambahbaik aliran udara,” kata Redic.

Subaru WRX 2022 – <em>fender flare</em> plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

Menurutnya lagi jurutera Subaru telah menguji flare berteksur tersebut dan dibandingkan dengan flare yang diberikan lapisan cat dengan menggunakan terowong udara – plastik tanpa cat tersebut menunjukkan bahawa ia lebih baik dalam mengekalkan kelancaran aliran udara sekeliling kereta.

Beliau menjelaskan bahawa dengan flare licin dan dicat, aliran udara “akan mula lari dari bentuk di belakang, dan ia akan menghasilkan lebih banyak turbulens udara di bahagian belakang.” “Dengan hanya merubah struktur dari cat kepada tekstur heksagon memberikan penambahbaikkan yang besar pada aerodinamik kereta tersebut,” katanya dan menambah bahawa berberapa bahagian pada bawah kereta juga diberikan plastik dengan tekstur sama bagi menambahbaik karekter aerodinamik.

Redic juga memberitahu bahawa liang pada fender hadapan WRX 2022 ini juga mempunyai fungsi aerodinamik sebenar. “Ia membolehkan kami mengeluarkan udara dari ruang roda,” kata Redic dan menjelaskan fungsi tersebut adalah untuk “mengurangkan tekanan, keluarkan udara dari badan bagi mengurangkan turbulens…jadi kereta tersebut kekal licin.”

Beliau juga menyatakan bahawa bentuk rekaan yang dibuat pada fender flare belakang Subaru WRX ini juga memberikan fungsi aerodinamik yang sama.

Subaru WRX 2022 ini diasaskan dari Subaru Global Platform yang baru, sama seperti model-model terkini lain seperti Impreza, Levorg dan Forester generasi baharu. Ia tidak lagi menggunakan enjin siri EJ seperti model generasi sebelumnya, sebaliknya dijana oleh enjin boxer empat silinder generasi baharu FA24F 2.4 liter dengan pengecas turbo.

Enjin berkenaan menghasilkan 271 hp pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 2,000 hingga 5,200 rpm. Walaupun kapasiti enjin baharu ini jauh lebih besar, penghasilan kuasa yang ditampilkan sebenarnya tidak jauh berbeza dari model sebelum ini yang menjana 268 hp dan tork maksima 350 Nm bagi model pasaran Amerika Syarikat. Namun menurut Subaru, enjin baharu ini ditala bagi memberikan lengkuk kuasa yang lebih luas.

Subaru WRX 2022 – <em>fender flare</em> plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

Subaru masih menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan bagi WRX generasi baharu ini. Manakala untuk mereka yang lebih gemarkan pemanduan dua pedal, ia juga masih ditawarkan dengan transmisi CVT automatik yang digelar Subaru Performance Transmision yang kini telah ditala bagi memberikan tukaran gear menaik 30% lebih pantas, dan tukaran menurun gear 50% lebih pantas antara gear maya kedua dan ketiga.

Subaru juga menyatakan bahawa rasa “gegelang getah” pada transmisi CVT tersebut juga kini dikurangkan lagi, dan ia juga diberikan sistem kawalan tukaran gear adaptif yang mampu memberikan respon lebih pantas bagi memberikan kesan seakan sistem rev-match ketika gear diturunkan semasa membrek.

Seperti biasa, kesemua kuasa dari enjin dihantar ke kesemua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru, serta dibantu dengan sistem Active Torque Vectoring. Bagi model varian tertinggi WRX GT, ia turut menerima suspensi dengan penyerap hentak kawalan elektronik – pertama kali dipadankan pada WRX.

Suspensi ini datang dengan tiga tetapan mod yang boleh dipilih iaitu Comfort, Normal dan Sport. Pilihan berkenaan boleh dibuat menerusi sistem Drive Mode Select, yang juga menawarkan opsyen untuk membuat tetapan terhadap rasa stereng.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required