GAC GS3 dilihat di atas jalan raya Malaysia – akan dilancarkan esok, diedar oleh Tan Chong Group

GAC GS3 dilihat di atas jalan raya Malaysia – akan dilancarkan esok, diedar oleh Tan Chong Group

Selepas melancarkan trak pikap dari China, JMC Vigus Pro menerusi subsidiarinya iaitu Angka-Tan Motor Oktober lalu, Tan Chong Group bakal membawa satu lagi jenama dari negara Tembok Besar berkenaan iaitu GAC Motor. Pagi tadi laman Facebook GAC Motor Malaysia telah pun menyiarkan teaser model pertama mereka yang akan dilancarkan di sini esok iaitu GS3, dan sekarang kami baru sahaja menerima imej dari pembaca Pua yang memaparkan SUV segmen-B tersebut sedang dipandu di atas jalan raya.

Pelancaran GS3 ini esok sekaligus turut menjadi detik rasmi penampilan GAC Motor di Malaysia. Jenama tersebut akan dikendalikan oleh satu lagi subsidiari Tan Chong iaitu WTC Automotif. Bilik pameran pertama GAC Motor ini terletak di ibu pejabat TC di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, bersebelahan dengan bilik pameran Nissan.

Imej yang kami terima ini hanya menunjukkan bahagian belakang dua buah GAC GS3 yang berwarna biru dan putih berkenaan. Namun menerusi imej teaser rasmi yang disiarkan, dapat disahkan bahawa pasaran Malaysia akan terus menerima GS3 dalam versi facelift terbaharu berdasarkan gambar lampu hadapan dan belakang yang ditunjukkan dengan jelas.

Walau bagaimanapun, model pasaran Malaysia ini hanya menerima lampu hadapan dengan projektor tunggal bersama lampu isyarat membelok menggunakan mentol biasa. Di China, GS3 turut hadir dengan versi yang diberikan lampu hadapan spesifikasi tertinggi menampilkan dua pemancar berbentuk segi empat bersama jalur LED untuk lampu isyarat membelok.

Tiada sebarang petunjuk spesifikasi lain didedahkan untuk SUV ini. Bagi pasaran negara asalnya, SUV yang dikenali sebagai Trumpchi GS3 tersebut menerima pilihan enjin paling berkuasa 1.5 liter tiga-silinder turbo menjana 163 PS dan tork maksima 235 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear sama ada manual enam-kelajuan atau klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

Sekiranya WTC Automotif menawarkan spesifikasi ini di pasaran Malaysia, ia bakal memberikan satu lagi pilihan SUV segmen-B dengan kuasa turbo selain Proton X50 dan juga Hyundai Kona. Proton X50 yang diasaskan dari SUV segmen-B dari China iaitu Geely Binyue hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5L Turbo GDI berkuasa 177 PS/255 Nm (untuk model Flagship) dan 1.5L Turbo MPI berkuasa 150 PS/226 Nm (untuk varian-varian lebih rendah). Manakala Hyundai Kona 1.6 Turbo dan N-Line pula dijana enjin 1.6L Turbo GDI berkuasa 198 PS/265 Nm, tetapi dijual pada harga agak premium iaitu RM147k hingga RM157k.

Selain dari pilihan enjin paling berkuasa berkenaan, Trumpchi GS3 di China juga hadir dengan enjin 1.5 liter tanpa turbo berkuasa 115 PS/150 Nm dan 1.3L Turbo berkuasa 137 Nm PS/202 Nm. Melihat pada angka kuasa, kemungkinan besar GAC GS3 pasaran Malaysia ini akan ditawarkan dengan enjin 1.5L Turbo bagi memastikan ia relevan untuk bersaing dengan SUV segmen-B lain di sini.

GAC GS3 ini diukur dengan 4,350 mm panjang dan 1,825 mm lebar – 20 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar dari Proton X50. Rupa X50 yang lebih sporty juga menyebabkan ia 76 mm lebih rendah berbanding GAC GS3 ini. Berbanding Perodua Ativa? Sudah tentu GS3 menampilkan saiz yang lebih besar.

Dalam kabin, GS3 diberikan rekaan yang minimalis menampilkan bentangan skrin ala-Mercedes-Benz di mana skrin paparan instrumen digital yang kelihatan seperti satu unit bersama skrin infotainmen di tengah papan pemuka. GS3 juga hadir dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) untuk versi pasaran China.

Bagaimana dengan harga? GAC GS3 ini dijangka akan bersaing dalam pasaran dengan julat harga RM100k sehingga RM150k, yang bukan sahaja bakal bersaing dengan Proton X50 dan X70, malah dengan turut bakal berhadapan dengan Toyota Corolla Cross, Subaru XV, Honda HR-V dan lain-lain.

Memandangkan Tan Chong merupakan entiti yang memang mempunyai kemampuan produksi, tidak mustahil model GAC ini hanya akan tampil dengan versi yang diimport sepenuhnya (CBU) untuk unit permulaan dan diikuti versi pemasangan tempatan (CKD) selepas itu.

Usaha untuk membawa masuk model-model GAC ke pasaran tempatan ini sebenarnya bukan baru. Hubungan antara Tan Chong dan Guangzhou Automobile Group tersebut secara rasminya terbentuk pada Disember 2020, dengan kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan potensi untuk jualan dan pemasangan kenderaan jenama GAC di Malaysia dan Vietnam.

Malah awal tahun ini, GAC GS3 telah pun dijumpai sedang diuji di Malaysia dengan berselindung disebalik pelekat penyamaran, menandakan ia mungkin akan dilancarkan di sini.

GALERI: GAC Trumpchi GS3 Power pasaran China

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Depan macam biasa aje. Dari belakang nampak cantik.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Is better for Tan Chong to bring in the latest Nissan Qashqai or X-trail than being the dealership of this car.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required