Pas perjalanan My50 dilaksana mulai 1 Jan 2022 – gantikan My30 yang tamat pada 31 Dis 2021

Pas perjalanan My50 dilaksana mulai 1 Jan 2022 – gantikan My30 yang tamat pada 31 Dis 2021

Pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang, yang diumumkan dalam cadangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat Oktober lepas, akan bermula pada 1 Januari ini.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Ir. Wee Ka Siong yang berkata My50 menggantikan pas perjalanan tanpa had My30, yang diperkenalkan Kerajaan di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA pada bulan Jun 2020.

“Tempoh promosi untuk My30 berakhir pada 31 Disember 2021 dan ia akan diganti dengan pas perjalanan RM50 sebulan, yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam cadangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lepas. Pengenalan pas perjalanan My50 ini adalah bukti bahawa Kerajaan amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam keadaan mencabar sekarang selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’.

“Dengan pengenalan pas perjalanan My50 ini dan dengan perkembangan baik berterusan Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihak Kementerian dan Prasarana yakin tahun 2022 akan menyaksikan peningkatan dalam jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan kendalian Prasarana,” kata Wee.

Pas perjalanan My50 dilaksana mulai 1 Jan 2022 – gantikan My30 yang tamat pada 31 Dis 2021

Menurut beliau, secara keseluruhan untuk tahun 2021, berdasarkan data sehingga 24 Disember 2021, purata jumlah penumpang harian yang dikendalikan oleh Prasarana adalah 462,246 penumpang. Purata jumlah penumpang untuk perkhidmatan rel adalah 324,517 penumpang sehari dan untuk bas, yang meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan, adalah 137,729 penumpang.

“Sebelum penularan wabak Covid-19, Prasarana pernah mengendalikan sehingga 1.1 juta penumpang sehari pada tahun 2019. Dengan keupayaan dan kapisiti yang dimiliknya, Prasarana mampu meningkatkan frekuensi tren dan bas kendaliannya andai permintaan meningkat sambil memastikan para penumpang terus menikmati perjalanan yang selesa, lancar dan selamat,” tambahnya.

Terbuka eksklusif untuk warga negara Malaysia, pas perjalanan My50 menawarkan perjalanan tanpa had kepada warga negara Malaysia untuk menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana – LRT, MRT, BRT, Monorel dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT dengan hanya membayar RM50 untuk tempoh penggunaan 30 hari berturut-turut.

Kemudahan pas perjalanan My50 turut disediakan di Pulau Pinang untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan bas Rapid Penang di bawah label Pas Mutiara.

“Untuk Pulau Pinang, pas perjalanan akan dipanggil Pas Mutiara My50 dan boleh digunakan untuk bas henti-henti perkhidmatan Rapid Penang,” kata Wee, sambil menambah bahawa buat masa ini, kemudahan pas perjalanan itu belum dilaksanakan untuk Rapid Kuantan, yang merupakan satu lagi rangkaian perkhidmatan bas henti-henti kendalian Prasarana.

Untuk pembelian di Lembah Klang, orang ramai boleh melanggan pas perjalanan My50 ini pejabat-pejabat khidmat pelanggan Rapid KL di semua stesen LRT, stesen MRT, stesen Monorel dan stesen BRT–Laluan Sunway. Selain itu, ia juga boleh didapati di hab-hab Bas Rapid KL terplih seperti di Pasar Seni, Chow Kit, KLCC, Sri Nilam, Puchong Utama, Pearl Point, Sunway Pyramid, Greenwood dan Seksyen 2 Shah Alam.

Manakala untuk pembelian di Pulau Pinang, ia boleh didapati di kiosk-kiosk terpilih Rapid Penang iaitu di KOMTAR, Weld Quay (Terminal B), Penang Sentral, Bukit Jambul, Ibu Pejabat Rapid Penang (Lorong Kulit), Kompleks Dato’ Kailan (Kepala Batas), Balik Pulau dan Bukit Mertajam.

Bagi menjayakan inisiatif pas perjalanan ini, kerajaan memperuntukkan RM115 juta sebagai pembayaran subsidi untuk menampung kos yang perlu ditanggung oleh Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia ini.

Kata Wee, ia adalah pelaburan yang besar, tetapi amat penting kerana peranan yang dimainkan oleh sektor pengangkutan awam untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.

“Seperti yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri ketika melancarkan Pas Keluarga Malaysia pada 22 November lepas, pengangkutan awam mempunyai peranan besar dalam menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia dalam visi jangka panjang untuk memulihkan negara dengan konteks pendekatan kekeluargaan.

“Selain menjadi alat penyatuan bangsa dalam menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia, perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien juga akan menggalakkan perkembangan aktiviti komersial dan menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru, adalah menjadi harapan ikhlas saya agar rakyat terus menyokong perkhidmatan pengangkutan awam dan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pas perjalanan tanpa had My50 ini untuk menyemarakkan semula ekonomi negara dan semangat penyatuan Keluarga Malaysia,” tambah beliau.

Walaupun pas perjalanan My30 berakhir pada 31 Disember ini, Wee berkata mereka yang membeli pas perjalanan berkenaan dan Pas Mutiara pada hari berkenaan boleh terus menikmati kemudahan itu sehingga 30 Januari 2022 sebelum beralih kepada pas My50.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required