Changan Eado EV460 bakal jadi EV CKD pertama di Malaysia? Sedan elektrik 136 PS, jarak gerak 405 km

Changan Eado EV460 bakal jadi EV CKD pertama di Malaysia? Sedan elektrik 136 PS, jarak gerak 405 km

November lalu kami ada mengeluarkan laporan bahawa sebuah syarikat China berminat untuk membina kilang pemasangan kenderaan elektrik di Melaka – dikatakan sebagai yang pertama di Malaysia. Sekarang kita sudah tahu, ia memang akan berlaku, apabila Fieldman EV mengumumkan bahawa mereka akan melabur RM1 bilion untuk kilang yang terletak di tanah seluar 200 hektar di Kawasan Perindustrian Elkay Lipat Kajang, di Jasin, Melaka.

Menurut ketua menteri negeri itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Fieldman EV telah pun memperoleh hak eksklusif untuk pengedaran kenderaan EV pemanduan sebelah kanan – berkemungkinan dipasang di kilang baru di Melaka tersebut – di Malaysia serta Asia Tenggara dari Changan Automobile.

Semasa acara yang berlangsung pada Selasa, 4 Januari 2022, Fieldman EV telah menyerahkan sebuah Eado EV460 kepada kerajaan negeri Melaka, dan model ini mungkin menjadi EV pemasangan tempatan (CKD) pertama yang dibuat di kilang tersebut apabila ia sudah mula beroperasi nanti.

Model yang diserahkan itu adalah model generasi kedua bagi sedan Eado, dan ia pertama kali ditunjuk kepada dunia pada Oktober 2018 – versi EV dipanggil sebagai EV460. Di China, Eado telah pun diberikan facelift dan sekarang dipanggil sebagai Eado Plus, dan ia datang dengan sama ada enjin petrol empat silinder 1.6 liter NA atau 1.4 liter turbo, bersama gabungan transmisi automatik empat kelajuan atau klac berkembar tujuh kelajuan.

Changan Eado EV460 bakal jadi EV CKD pertama di Malaysia? Sedan elektrik 136 PS, jarak gerak 405 km

Melihat kepada spesifikasi, EV460 menggunakan motor elektrik hadapan 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork 245 Nm, yang mendapat kuasa daripada bateri 52.56 kWh, dan boleh memberikan jarak gerak sehingga 405 km dengan sekali cas penuh (disahkan oleh kementerian teknologi informasi dan industri China).

Menurut apa yang tertulis dalam laman web Changan, bateri ini boleh digunakan dengan pengecas pantas DC dan masa yang diambil untuk mengecas bateri dari 0-80% adalah sekitar 50 minit. Apabila menggunakan pengecas AC biasa, cas penuh boleh lengkap dalam masa lapan jam.

Mengikut tahap yang ditetapkan oleh NEDC, EV460 boleh mencatat jarak gerak antara 430 km hingga 460 km apabila meluncur sekata, bergantung kepada keadaan, sementara apabila bergerak di bawah kelajuan 60 km/j, ia boleh mencatat sehingga 550 km.

Ukuran EV460 adalah 4,740 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,515 mm tinggi dan jarak roda 2,700 mm, menjadikan saiznya hampir seperti Geely Geometry A. Satu perbandingan lain, ia adalah lebih besar berbanding sedan Mazda 3 yang mempunyai panjang 4,660 mm dan lebar 1,795 mm.

Changan Eado EV460 bakal jadi EV CKD pertama di Malaysia? Sedan elektrik 136 PS, jarak gerak 405 km

Eado EV460 memang masih belum dijual di negara kita secara rasmi buat masa ini, tetapi di Filipina, harganya adalah 1.828 juta peso (RM149,552) dan ditawarkan dalam satu varian sahaja, yang datang dengan rim 17 inci, lampu utama projector halogen, DRL LED, penunjuk arah pada cermin sisi, lampu kabus belakang, cruise control serta sistem masuk tanpa kunci.

Kelengkapan standard lain yang disediakan adalah balutan kulit di dalam, panel instrumen digital, pendingin hawa automatik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10 inci, enam pembesar suara, enam beg udara, ESC, ABS, EBD, Brake Assist, Traction Control, Hill Hold Control, kamera undur dan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

Spesifikasi ini kebanyakannya adalah sama seperti EV460 yang dijual di China, dan di sana, ia dijual pada harga antara 129,900-139,900 yuan (RM85,679-RM92,274) termasuk subsidi.

Meskipun kami kerap mengatakan Eado EV460 bakal menjadi EV CKD pertama di Malaysia, Fieldman EV sendiri masih belum mengesahkannya atau memberitahu bila ia akan berlaku. Syarikat itu telah membuat satu perancangan jangka masa panjang untuk merancakkan pembangunan teknologi EV serta pemasangan di Melaka, jadi kita perlu menunggu perincian lanjut dari mereka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required