BMW tunjuk teknologi tukar warna badan sekelip mata

BMW tunjuk teknologi tukar warna badan sekelip mata

Siapa ingat lagi dengan siri televisyen bertajuk “Viper” pada era 90’an dulu? Selain dari watak Michael Payton yang dilakonkan oleh James McCaffrey sebagai watak utama, hero sebenar siri TV berkenaan sudah tentulah kereta sport roadster Dodge Viper RT/10 berwarna merah, yang boleh bertukar ke mod ‘Defender’ dengan rupa sebuah Coupe yang lebih garang berwarna perak dengan transformasi yang mengambil masa hanya beberapa saat.

Jika pada era berkenaan teknologi untuk menukar warna tersebut boleh dikatakan hanya sebagai khayalan, nampaknya kini ia telah direalisasikan dalam dunia sebenar – ketika berlangsungnya acara CES 2022 di Las Vegas, Amerika Syarikat, BMW telah mendedahkan teknologi digelar E-Ink, iaitu teknologi yang membolehkan warna badan kereta berubah dalam sekelip mata!

Teknologi tersebut didemonstrasikan pada badan SUV konsep BMW iX Flow yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya. Apa ‘sihir’ yang BMW pakai untuk menghasilkan teknologi ini? Sebenarnya badan iX Flow tersebut telah dibalut dengan material E-Ink yang menampilkan teknologi sama digunakan pada peranti pembacaan elektronik (e-reader) Kindle. Jadi buat masa sekarang, E-Ink ini hanya menampilkan tiga warna iaitu putih yang boleh bertukar kepada hitam dan kelabu, atau sebaliknya.

BMW tunjuk teknologi tukar warna badan sekelip mata

Material E-Ink itu sendiri sebenarnya adalah eKertas, yang menampilkan jutaan kapsul mikro dengan diameter sangat kecil seperti sehelai rambut manusia. Setiap kapsul mikro tersebut mempunyai pigmen dengan cas negatif berwarna putih, dan juga pigmen dengan cas positif berwarna hitam. Bergantung pada larasan yang dipilih, stimulasi boleh dilakukan menggunakan medan elektrik bagi mengubah warna hitam atau putih.

Walau bagaimanapun, balutan eKertas pada badan kereta berkenaan perlu dilakukan dengan tepat. Ini kerana karekteristik untuk kontur dan juga variasi cahaya dan bayang semuanya bergantung kepada bagaimana eKertas itu dibalut pada badan kereta. Ia juga memerlukan rekaan algoritma tersendiri bagi membolehkan pembentukan dan kadar fleksibel yang diperlukan supaya eKertas tersebut dapat membentuk garis-garis rekaan pada badan kereta berkenaan.

Menurut BMW, warna badan yang boleh berubah dalam sekelip mata ini bukan hanya memberikan kelebihan untuk aspek astetika semata-mata, tetapi ia juga sebenarnya boleh memainkan peranan besar untuk aspek kadar efisien. Contohnya pada cuaca yang panas, BMW iX Flow ini boleh berubah kepada warna putih untuk mengurangkan jumlah haba yang diserap oleh badan kereta, secara tidak langsung ia boleh mengurangkan beban terhadap sistem pendingin hawa.

BMW tunjuk teknologi tukar warna badan sekelip mata

Manakala ketika cuaca sejuk, badan kereta boleh bertukar kepada warna hitam bagi menyerap haba sebanyak yang boleh bagi mengurangkan penggunaan tenaga untuk sistem pemanas. Dengan cara ini, banyak kuasa elektrik dapat dijimatkan dan secara tidak langsung membolehkan BMW iX Flow berkenaan bergerak dalam jarak yang lebih jauh dengan satu cas bateri penuh.

BMW turut menyatakan bahawa teknologi E-Ink ini turut boleh digunakan untuk membalut bahagian dalaman kenderaan, contohnya pada papan pemuka untuk mengelakkan ia menjadi terlalu panas ketika diparkir di kawasan yang terdedah dengan cahaya matahari.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required