Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

Mac tahun lalu, Shell dan Porsche Asia Pacific umumkan rancangan untuk melaksanakan rangkaian pengecas prestasi tinggi (HPC), yang pertama melangkaui sempadan di Asia Tenggara, untuk kereta elektrik untuk membolehkannya digunakan dengan selesa dalam perjalanan antara Semenanjung dan Singapura.

Rangkaian baru itu, yang melibatkan 12 pengecas di enam stesen Shell yang terletak di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan di Malaysia, kini telah bermula dengan pengenalan lokasi pertama di stesen Shell kawasan rehat Tangkak (arah Selatan), yang akan beroperasi secara rasmi bermula esok.

Ini kemudiannya akan diikuti oleh pengenalan di stesen Shell R&R Seremban (arah Utara), R&R Seremban (arah Selatan), R&R Pagoh (arah Selatan), RTC Simpang Pulai (arah Utara) dan R&R Tapah (arah Selatan). Tahun lalu, syarikat berkaitan memaklumkan yang rangkain tersebut akan tersedia menjelang separuh pertama 2022.

Setiap daripada enam stesen terbabit akan dilengkapi dengan pengecas pantas 180 kW DC yang menampilkan dua penyambung CCS Type 2. Tetapan itu membolehkan sebuah kenderaan dicas pada kadar penuh 180 kW, atau dua kenderaan pada kadar 90 kW setiap satunya dalam satu masa.

Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

Rangkaian HPC Shell ini akan melengkapi rangkaian pengecas EV lain syarikat itu yang sedia ada, terdiri daripada 18 tempat mengecas “Reserve + Shell Recharge” di Malaysia serta 18 pengecas pantas 50 kW Shell Recharge serta 87 pengecas awam Greenlot di Singapura.

Menurut Shell, ada tiga kaedah bagaimana pengguna boleh memanfaatkan rangkaian 180 kW Recharge tersebut. Pertama, melalui cara bayar ikut penggunaan. Terbuka kepada semua pengguna EV, tanpa ada langganan diperlukan untuk ini. Di Malaysia, bayaran yang dikenakan adalah RM4 yuran pengesahan dan RM20 bagi setiap lima minit pengecasan untuk 25 minit pertama, dengan RM20 bagi setiap lima minit berikutnya. Ini akan menjadikan jumlahnya RM240 sejam (atau RM244 dengan yuran pengesahan).

Cara kedua ialah melalui langganan selama setahun, yang menawarkan status Gold Member. Kos langganan ialah RM835 setahun, tetapi ini menawarkan kepada pelanggan kadar pengecasan lebih murah — bagi 10 jam pertama setiap tahun, pengguna akan membayar RM12 bagi setiap lima minit untuk 25 minit pertama, diikuti dengan RM5 bagi setiap tambahan lima minit berikutnya (yuran pengesahan RM4 kekal).

Ini menjadikan kadarnya RM95 sejam (atau RM99 dengan yuran pengesahan) dengan langganan. Selepas 10 jam pertama itu digunakan, tambah nilai kuota disediakan pada kadar RM80 sejam, walaupun kadar standard akan dikenakan kemudiannya.

Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

Langganan juga menawarkan 10% pulangan tunai bagi semua stesen pengecas di Shell Recharge AC, serta kemudahan untuk menempah ruang mengecas melalui aplikasi ParkEasy — selepas pengesahan dan tempahan, ruang berkenaan akan dikhaskan untuk anda sehingga tempoh sejam sebelum ketibaan anda.

Ketiga, ia eksklusif untuk pengguna Porsche EV, dengan keahlian Platinum percuma selama tiga tahun diberikan untuk setiap pembelian model Taycan. Kadarnya juga lebih rendah — bagi 12 jam pertama yang digunakan setiap tahun, pengguna akan membayar RM10 bagi setiap lima minit bagi 25 minit pertama. Ini diikuti dengan RM5 bagi tambahan setiap lima minit selepas itu (RM4 yuran pengesah juga masih kekal).

Ini menjadikan kadar RM85 sejam (RM89 dengan yuran pengesahan). Tambah nilai kuota selepas 12 jam penggunaan juga ada pada kadar RM60 sejam, dengan kadar standard untuk pengecasan. Pemilik Taycan dari Malaysia juga boleh menikmati diskaun eksklusif sebanyak SGD 0.10 per kWh daripada kadar dikenakan ketika mengecas di Singapura, sah untuk 600 kWh pertama setahun.

Sebagai tambahan, pengguna Porsche juga akan boleh memanfaatkan pengecas prestasi tinggi 175 kW yang tersedia di empat Pusat Porsche di negara ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required