Ada banyak perkara yang boleh diperkatakan tentang Toyota Corolla Cross Hybrid yang baru dilancarkan untuk pasaran tempatan ini. Ia kini menjadi varian paling tinggi model SUV berkenaan, dengan harga RM137k. Lebih menarik, ia menggunakan sistem hibrid generasi keempat Toyota yang terbukti berkesan dan tanpa masalah.
Sistem penjana kuasanya terdiri daripada enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter empat-silinder berkuasa 98 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 142 Nm pada takat 3,600 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 72 PS dan tork maksimum 163 Nm. Menarik dengan sistem hibrid yang ada padanya adalah pemanduannya tidak lagi rasa jauh berbeza berbanding model petrol biasa.
Penyampaian kuasanya bertenaga, ruang kabin selesa serta pengendalian yang meyakinkan — semua ini dengan lebih penjimatan bahan api. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 122 PS bagi memacu roda hadapan menerusi kotak gear automatik E-CVT, tanpa menampilkan sebarang kelajuan maya. Motor elektrik pada model hibrid ini menerima kuasa dari bateri nikel logam hidrat berkapasti 6.5 Ah yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, membolehkan ia mengekalkan ruang kapasiti but belakang.
Aspek keselamatan juga cemerlang. Semua varian Corolla Cross pasaran Malaysia menerima kelengkapan standard termasuk Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Bantuan Mula Mendaki dan Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS). Kelengkapan standard lain termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang.
Model 1.8V dan 1.8 Hybrid juga didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) yang menampilkan fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).
Untuk tahu pandangan kami selebihnya berkaitan model SUV terbaru ini, tonton ulasan video yang disediakan. Dan, jangan lupa untuk kongsikan juga pandangan anda.
GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid 2022
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.