PACE 2022 bakal berlangsung 19-20 Mac ini – peluang akhir untuk nikmati penjimatan cukai, pelbagai hadiah

Tahun ini, acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org sekali lagi kembali. Seperti biasa, ia akan menyediakan pelbagai tawaran menarik untuk kereta premium baru dan terpakai, berserta hadiah dan macam-macam lagi. Sekali lagi, ia akan dianjurkan di Pusat Konvensyen Setia City, dan anda dijemput hadir pada 19-20 Mac ini.

Memandangkan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan akan berakhir 30 Jun ini, PACE adalah peluang terakhir untuk anda menikmati penjimatan cukai sebanyak 50% untuk kenderaan CBU dan 100% untuk kenderaan CKD. Jika anda ada rasa mahu membeli kereta baru, inilah masanya, dan kereta baru anda juga akan tiba sebelum Hari Raya.

Antara jenama yang menyertai acara ini adalah termasuk Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), BMW dan MINI (diwakili oleh Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Turut hadir adalah motosikal daripada BMW Motorrad dan Harley-Davidson.

PACE 2022 bakal berlangsung 19-20 Mac ini – peluang akhir untuk nikmati penjimatan cukai, pelbagai hadiah

Setiap jenama ini akan mempunyai tawaran mereka sendiri, tetapi seperti kebiasaan, setiap pembelian di PACE juga akan memberikan anda tambahan hadiah serta penjimatan. Antaranya, setiap tempahan kenderaan akan diberikan baucar RM2,500, di mana ia terdiri daripada RM500 untuk lapis pelindung cat Kuzig Glanz, RM500 untuk tint V-Kool, RM500 untuk pembersih udara Blueair, RM500 untuk tempat duduk kanak-kanak Recaro dan RM500 untuk barangan Ogawa.

Jenama yang hadir di dalam acara ini juga akan membawa kenderaan terpakai mereka yang berkualiti dan pembeli akan menerima baucar RM1,000 yang terdiri daripada dua pilihan rawak baucar RM500 sama ada daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

Bukan setakat itu, mereka yang membeli kenderaan di PACE 2022 juga berpeluang untuk memenangi 10 unit telefon pintar yang berharga RM3,500 setiap satu. Hadiah utama yang disediakan pula adalah pakej percutian bernilai RM25,000 untuk dua orang. Semua perincian lanjut ada di sini.