Polestar O2 Concept didedah – binaan casis seperti Lotus, bumbung keras boleh sorok, dilengkapi dron

Polestar O2 Concept didedah – binaan casis seperti Lotus, bumbung keras boleh sorok, dilengkapi dron

Selepas dipisahkan dari Volvo untuk bergelar sebagai pengeluar kereta sport bebas oleh Geely pada 2017, Polestar kemudiannya memperkenalkan model Polestar 1 dan Polestar 2 menampilkan rekaan yang masih nampak sangat ‘Volvo’. Namun pada April 2020, jenama tersebut mendedahkan model konsep yang digelar Polestar Precept dengan rekaan yang jauh berbeza dari Volvo, dan kemudian rupa versi produksinya ditunjukkan pada November tahun lalu dan disahkan digelar sebagai Polestar 5, dijangka bakal dilancarkan pada 2024 .

Dan sekarang, Polestar mendedahkan satu lagi model konsep dengan rupa tersendiri tanpa sebarang pengaruh Volvo, digelar sebagai Polestar O2. Kereta sport ini dihasilkan sebagai model empat tempat duduk dengan garis bumbung seakan Nissan Z, serta boleh berubah menjadi sebuah roadster dengan diberikan bumbung hard top yang boleh dibuka dan dilipat.

Menurut Polestar, O2 dihasilkan dengan kerangka binaan aluminium terikat. Teknologi yang menghubungkan binaan aloi dengan bahan pelekat tanpa sebarang kimpalan berkenaan sebelum ini diketahui digunakan secara meluas oleh jenama kereta sport British iaitu Lotus. Jadi disebabkan Lotus juga di bawah Geely, berkemungkinan Polestar menerima teknologi tersebut dari Lotus.

Polestar O2 Concept didedah – binaan casis seperti Lotus, bumbung keras boleh sorok, dilengkapi dron

Malah, struktur casis untuk O2 ini sebenarnya diadaptasi dari casis Polestar 5, yang dibangunkan di fasiliti R&D Polestar di Coventry, England, hanya 200 km dari ibu pejabat Lotus yang terletak di Hethel.

O2 menampilkan rekaan muka signatur terkini Polestar sama seperti Polestar 5. Oleh itu, lampu hadapannya dihasilkan dengan jalur LED seperti berbentuk-T, atau lebih spesifik berbentuk “tukul Thor” serta muncung yang tirus tanpa sebarang gril. Bampar hadapan kereta sports ini diberikan apron yang agresif bersama liang kemasukan udara nipis bersama spoiler di bawah.

Bampar berkenaan turut memberikan liang udara untuk mengalirkan udara ke dalam ruang roda hadapan. Dengan badan yang direka hanya menampilkan dua-pintu, O2 diberikan jarak roda yang jauh lebih pendek dari Polestar 5. Manakala di belakang lampunya direka ringkas dan sangat nipis, digandingkan dengan bampar yang menampilkan diffuser yang agak besar.

Polestar O2 Concept didedah – binaan casis seperti Lotus, bumbung keras boleh sorok, dilengkapi dron

Seperti yang dinyatakan tadi, bumbung Polestar O2 ini boleh dibuka, dan ia dilipat kemas bagi disorokkan dibawah penutup yang nampak seperti kulit kerang di belakang. Rupa luaran kereta sport ini dilengkapkan dengan set roda yang menampilkan rim gergasi bersaiz 22-inci.

Pada sebelah dalam, rekaan O2 ini dilihat hampir sama dengan kabin Precept tetapi dengan ruang kaki belakang yang jauh lebih kecil. Ia tampil dengan papan pemuka minimalis dengan elemen melintang bersama skrin sesentuh potret bersaiz 15-inci, paparan instrumen digital yang nipis, perehat tangan tengah terapung, dan empat tempat duduk bucket dengan tali keledar berwarna emas.

Menurut Polestar, komponen-komponen dalaman pada O2 ini dihasilkan dari bahan “mono-material” yang boleh dikitar semula. Ini bermaksud setiap komponen dihasilkan dengan hanya satu material asas – contohnya, kesemua bahagian sentuhan lembut diperbuat dari polyester yang dikitar semula, termasuk busa, bahan perekat, gentian kait-3D dan juga lapisan bukan tenunan. Ini membolehkan kesemua komponen tersebut dikitar semula dengan mudah dalam masa yang sama mengurangkan berat dan sisa buangan.

Bukan sahaja untuk komponen dalam kabin, malah kaedah yang sama turut dibuat pada binaan aluminium kereta ini. Pelbagai logam dengan gred berlainan digunakan pada O2 ini dilabelkan, membolehkan ia dikitar semula dengan lebih efektif serta mengekalkan karekteristik masing-masing. Ini membolehkan material-material berkenaan digunakan semula dengan penggunaan aluminium asli yang lebih sedikit.

Logam berlainan gred tersebut digunakan untuk memberikan kadar ketegaran badan yang lebih baik bagi meningkatkan tindak balas dinamik pada kereta berkenaan. Polestar mendakwa bahawa O2 menampilkan pengendalian yang baik menerusi sudut olengan yang kecil bersama redaman olengan yang tinggi, serta stereng dengan rasa terus dan linear bersama binaa tork stereng yang baik.

Polestar turut menyatakan bahawa mereka telah menala casis O2 ini bagi memberikan rasa “hidup, ringan dan penuh keyakinan.” Buat masa sekarang Polestar masih belum mengumumkan sebarang spesifikasi teknikal, termasuk unit rangkaian kuasa yang digunakan, mahupun apa-apa angka prestasi.

Satu lagi ciri yang agak menarik pada Polestar ini adalah ia dilengkapi dengan dron yang disembunyikan di bawah tempat duduk belakang. Dron berkenaan dibangunkan bersama Hoco Flow, iaitu jenama milik Aerofugia (syarikat yang diwujudkan dengan kerjasama Geely dan pembuat ‘kereta terbang’ Terrafugia yang juga kini milik Geely).

Dron tersebut boleh diterbangkan untuk merekodkan video kereta ini ketika ia sedang bergerak. Pemandu boleh memilih mod “atmospheric sequence” yang lebih lebar atau “action-filled sequence” bagi memberikan rupa yang lebih sporty kepada kereta tersebut dalam rakaman berkenaan.

Dron ini juga mampu terbang dengan kelajuan sehingga 90 km/j serta boleh terbang pulang kereta secara automatik. Rakaman video yang diperoleh dari dron berkenaan boleh diedit dan dikongsi menerusi skrin utama Polestar O2 ini ketika ia tidak bergerak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required