Kerajaan Malaysia mungkin terpaksa membelanjakan sejumlah RM28 bilion untuk subsidi bahan api tahun ini sekiranya harga bahan api mentah kekal di atas paras US$100 (RM419) setong. Walaupun kerajaan berpeluang untuk memperoleh pulangan yang lebih besar untuk hasil minyak, jumlah subsidi bahan api tahun ini mungkin boleh naik lima kali lebih tinggi berbanding hanya RM5.3 bilion yang diperuntukkan di dalam Bajet 2022, menurut KAF Research dalam laporan The Star.

“Berdasarkan analisis di atas, kerajaan akan menerima pendapatan dari hasil minyak yang lebih tinggi sekitar RM57 bilion tahun ini berbanding RM44 bilion yang dijangka di bawah Bajet 2022 pada harga semasa minyak sekitar US$109.20 (RM458) setong, iaitu 65.6% lebih tinggi berbanding jangkaan dalam Bajet 2022 iaitu US$66 (RM277) setong,” kata KAF Research.

Walau bagaimanapun, ini bermakna kerajaan juga perlu menanggung subsidi berjumlah RM28 bilion, manakala peningkatan subsidi yang lebih besar daripada jangkaan sebanyak RM22.7 bilion akan jauh melepasi keuntungan RM13 bilion untuk hasil minyak. Oleh itu, harga minyak yang lebih tinggi mungkin memberi impak negatif bersih kepada kedudukan fiskal negara “sehingga setiap kenaikan AS$10 (RM42) setong dalam harga minyak meningkatkan defisit fiskal sebanyak 0.1% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK),” tulis laporan dari KAF Research tersebut.

Harga Petrol gred tinggi kini dilihat naik pada setiap minggu. Untuk minggu bermula 17 hingga 23 Mac 2022, RON 97 kini dijual dengan harga RM4 seliter, manakala harga RON 95 yang diikat dengan subsidi pula kekal pada harga siling RM2.05 seliter; begitu juga harga runcit untuk diesel yang diikat RM2.15 seliter untuk Euro 5 B10 dan B20, serta RM2.35 seliter untuk diesel B7 Euro 5.

Menurut analisis sensitiviti oleh KAF Research, setiap kenaikan AS$1 (RM4.19) untuk harga minyak mentah Brent bermakna peningkatan RM300 juta dalam hasil kerajaan. Walau bagaimanapun, kenaikan yang sama juga akan meningkatkan jumlah subsidi sebanyak RM440 juta, yang diterjemahkan kepada “impak fiskal bersih tolak RM140 juta bagi setiap kenaikan AS$1 setong dalam harga minyak, selepas subsidi meningkat di atas titik pulang modal AS$55 (RM231) setong,” kata laporan itu.

Apabila harga minyak purata AS$70.85 (RM297) setong tahun lalu, kerajaan telah membelanjakan RM11 bilion subsidi; bulan lepas menyaksikan minyak mentah Brent melepasi AS$100 (RM419) setong, yang merupakan yang tertinggi sejak 2014, berikutan pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine bermula 24 Februari, lapor The Star. Rusia adalah pengeluar minyak ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Firma penyelidikan itu mengekalkan anggaran defisit fiskal sebanyak 6% daripada KDNK untuk 2022, kerana kerajaan mempunyai beberapa pilihan untuk menampung kekurangan RM7 bilion hingga RM10 bilion berdasarkan anggaran purata harga minyak antara AS$90 (RM378) kepada AS $110 (RM462) setong, lapor The Star.

Kerajaan Malaysia mempunyai dua pilihan pada ketika ini, kata KAF Research; sama ada kembali kepada program subsidi yang disasarkan sebelum ini yang telah ditangguhkan, dan memansuhkan harga siling bahan api, atau menaikkan harga siling bahan api kepada “paras yang lebih boleh diterima iaitu RM2.80 hingga RM3.00 seliter,” cadang firma penyelidikan tersebut.

“Sebelum pengumuman dibuat mengenai subsidi bahan api yang disasarkan, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mula menormalkan kadar pada separuh kedua tahun ini pada satu hingga dua kadar kenaikan,” tambah laporan firma penyelidikan itu.

Program bantuan bayaran tunai sekali sahaja sehingga RM625 telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia sebelum ini, bagi membolehkan harga bahan api diapungkan pada masa yang sama. Subsidi bahan api telah dimansuhkan pada 2014 dan selepas itu harga bahan api ditentukan berdasarkan mekanisme harga automatik. Namun subsidi tersebut diperkenalkan semula pada 2018 hanya untuk petrol RON 95 dan diesel, membolehkan kedua-dua bahan api berkenaan dijual pada harga masing-masing RM2.20 dan RM2.18 seliter.