Tinggal beberapa hari saja lagi pameran Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org akan berlangsung di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) pada 19-20 Mac, hujung minggu ini. Banyak model kenderaan terbaru akan dipamerkan di bawah satu bumbung, termasuklah Volvo XC90 B5 Inscription Plus.

Ini merupakan model mild-hybrid jenama itu yang pertama dijual di Malaysia. Ia dilengkapi enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder, dengan janaan 249 PS dan 350 Nm tork. Menyalurkan kuasa berkenaan adalah kotak gear automatik lapan-kelajuan, dan disertai juga oleh sebuah motor elektrik dengan kuasa 14 PS dan 40 Nm. Ini membolehkan operasi Start/Stop enjin lebih lancar, mengurangkan penggunaan minyak dan memberikan kuasa tambahan.

SUV besar ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat, dan dalam masa yang sama memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 8.2 liter per 100 km. Tidak seperti versi petrolnya, versi B5 ini datang dengan kemasan spesifikasi tinggi termasuk roda 20-inci, lampu utama LED adaptif, suspensi udara aktif, sunroof panoramik, tombol gear Orrefors, kawalan pendingin udara empat zon serta sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 19 pembesar suara 1,400 watt.

Oleh kerana ini model Volvo, ia tentunya datang dengan ciri keselamatan lengkap, termasuk AEB, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta serta sistem Pilot Assist yang mengendalikan pecutan, brek dan stereng — membolehkan pemanduan semi-autonomous Tahap 2.

Seperti semua kereta yang ditawarkan di PACE, XC90 juga menikmati pengecualian cukai SST ketika ini. Mungkin kesempatan terakhir pelanggan untuk mendapatkan penjimatan itu, ia bakal berakhir pada 30 Jun nanti. Juga, membeli di acara ini akan membolehkan anda mendapat kenderaan baru tersebut sebelum Hari Raya.

Volvo bakal disertai oleh banyak lagi jenama lain ketika pameran ini, seperti Mercedes-Benz (diwakili Hap Seng Star), BMW dan MINI (diwakili Auto Bavaria), Volkswagen, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Motosikal daripada BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan ikut serta. Kali ini, kita akan melihat penawaran daripada Ford.

Perlukan pembiayaan untuk kereta anda? Anda boleh berhubung dengan penaja bersama kami RHB Bank, yang menawarkan kadar 1.99%* setahun (bersamaan kadar tetap) bagi kenderaan hibrid, plug-in hibrid atau EV melalui RHB Green Financing. Bagi kereta biasa, anda boleh memanfaatkan
RHB Vehicle Financing-i (Kadar Bolehubah) dengan kadar serendah 2.10%* setahun (bersamaan kadar tetap).

Selain itu, RHB juga menyediakan pengurangan prinsipal dan pengurangan bagi baki harian untuk jimat terhadap caj profit; ia juga tidak akan mengenakan denda yuran keluar sekiranya anda melangsaikan pinjaman lebih awal. Jika nilai pembiayaan minimum RM50,000 pula daripada kos kereta melalui RHB Bank di PACE, anda akan menerima pelindungan kemalangan peribadi percuma bernilai RM100,000 daripada Syarikat Takaful Malaysia Berhad.

Seperti biasa, membeli kenderaan di PACE akan memberikan anda bonus dan penjimatan. Semua kenderaan yang ditempah akan menerima baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

Selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

Pengecualian SST, tawaran hebat daripada jenama, baucar percuma daripada PACE, cabutan bertuah — semua ini menjadikan acara berkenaan masa dan tempat terbaik untuk membeli kenderaan. Jumpa di sana nanti!