Selari dengan perancangan, kilang Hyundai Motor Manufacturing Indonesia (HMMI) kini secara rasminya telah pun dibuka selepas ianya diumumkan dua tahun lalu. Kilang berkenaan terletak kira-kira 40 km di timur Jakarta, iaitu di kompleks industri Deltamas berhampiran Cikarang.
Fasiliti ini merupakan kilang skala penuh pertama Hyundai di Asia Tenggara, dan apa yang lebih penting ia juga mampu untuk menghasilkan kereta-kereta elektrik sepenuhnya. Ia siap dibina pada Disember lalu, dan HMMI bakal memproduksi model Creta facelift dan juga model elektrik yang juga baru dilancarkan di Malaysia baru-baru ini iaitu Ioniq 5.
Kilang ini mampu menghasilkan 150,000 unit kenderaan setahun, dan dalam laporan sebelum ini ada dinyatakan bahawa sekitar separuh dari kenderaan yang diproduksi tersebut akan dieksport keluar dari Indonesia.
Hyundai merancang untuk menambah pelaburan lagi sebanyak US$1.55 bilion (RM6.5 bilion) terhadap kilang tersebut, bagi membolehkan ia menghasilkan sebanyak 250,000 unit kenderaan setahun. Ia juga menggunakan pelbagai teknologi mesra alam seperti panel solar serta rancangan untuk menggunakan cat berasaskan air.
Menurut Hyundai, kilang HMMI ini menunjukkan komitmennya terhadap kereta elektrik di negara berkenaan, dengan Ioniq 5 akan menjadi EV pertamanya yang dihasilkan di ASEAN. Jenama automotif dari Korea Selatan itu juga akan membangunkan kilang sel bateri berhampiran Karawang bersama LG Energy Solutions, yang dijangka akan siap pada separa pertama tahun hadapan sebelum beroperasi pada 2024.
Buat masa sekarang Hyundai dilihat mempamerkan prestasi yang baik dalam jualan segmen EV di Indonesia, dengan Ioniq Electric dan Kona Electric mewakili jualan sebanyak 87.3% dari jumlah keseluruhan jualan kereta elektrik penuh di negara berkenaan pada 2021.
Selain dari Creta dan Ioniq 5, HMMI juga turut akan mula memproduksi Sante Fe pada separa pertama tahun ini, bersama MPV bersaiz kecil yang direka untuk pasaran ASEAN pada separa kedua 2022.
Dengan beroperasinya kilang yang besar di Indonesia ini, ia mungkin akan turut memberi manfaat kepada operasi pemasangan tempatan di Malaysia. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, HMMI turut akan menghasilkan kit-kit complete knocked down (CKD) untuk pasaran ASEAN.
Kit-kit berkenaan akan dihantar ke negara-negara di rantau ini, bagi membantu entiti-entiti mereka mengambil manfaat terhadap insentif-insentif pemasangan tempatan yang diberikan setiap negara. Buat masa sekarang, Hyundai-Sime Darby di Malaysia menerima kit-kit CKD mereka terus dari Korea, yang dikenakan tarif antara 5 dan 80%.
Sekiranya Hyundai-Sime Darby menerima kit-kit CKD dari Indonesia, tarif berkenaan semestinya lebih rendah dengan mengambil manfaat dari Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). SUV CKD baharu dari Hyundai dijangka akan dilancarkan di Malaysia tahun ini, mungkin Santa Fe facelift?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.