Menurut laporan media, Hyundai merancang untuk memulakan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di Indonesia pada tahun 2022. Pengeluar kereta Korea itu kini sedang membangunkan kilang pemasangan baharu di Cikarang, Jawa Barat, dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan, menurut, timbalan presiden dan COO Hyundai Motor Asia Pacific, Lee Kang Hyun.

“Dengan sokongan kementerian dan kerajaan Jawa Barat, pembinaan kilang terbabit kini 65% siap walau pun sedang dilanda pandemik Covid-19,” tambah beliau yang berkata demikian dalam Persidangan Pelaburan Jawa Barat 2020 di Bandung awal minggu ini. Fasiliti berkenaan bakal menjadi pusat pembuatan berskala penuh yang pertama di Asia Tenggara.

Lee turut berkata kilang terbabit akan mula beroperasi pada hujung tahun 2021 dan bergerak sepenuhnya untuk menghasilkan model enjin pembakaran, serta memulakan produksi bagi EV pada 2022. Kilang berkenaan dijangka mampu menampung kapasiti pengeluaran sebanyak 150,000 unit setahun, dan boleh meningkat sehingga 250,000 unit setahun apabila perancangan pelaburan itu selesai.

Sebelum ini, kenyataan menyebut perancangan syarikat terbabit untuk mengeksport 53% hasil dari kilang berkenaan, kebanyakannya ke pasaran ASEAN termasuk Australia, dan mengekalkan 47% untuk kegunaan domestik. Hyundai telah mengumumkan buat pertama kalinya perancangan untuk menubuhkan kilang berkenaan pada Disember 2018, dengan kos pelaburan sebanyak US$880 juta RM3.6 bilion). Kemudian kos berkenaan naik sehingga US$1.55 bilion (RM6.34 bilion) pada tahun lalu.

Indonesia bukanlah satu-satunya negara di rantau ini yang dipilih oleh pengeluar kereta untuk membuat pelaburan sedemikian. Bulan lalu, ia turut mengumumkan pembinaan untuk pusat inovasi baharu di Singapura telah dimulakan. Ia akan menjadi makmal inovasi bagi kajian dan pembangunan mobiliti masa hadapan syarikat berkenaan serta kilang pengeluaran berskala kecil untuk EV.

Hyundai Motor Group Innovation Centre (HMGICS)
berlokasi di Daerah Inovasi Jurong (JID), akan mula beroperasi pada hujung 2022, dan fasiliti berkenaan dijangka mampu memasang sehingga 30,000 kenderaan menjelang tahun 2025 di fasiliti produksi yang akan bertempat di lokasi berkenaan. Laporan ada menyebut model dari sub-jenama Ioniq bakal dipasang di kilang berkenaan.