Kawasan pameran Hyundai di PACE 2022 bukanlah yang paling besar, tetapi ia tetap menarik ramai orang. Ini kerana mereka membawa beberapa model yang susah dilihat atas jalan raya, termasuklah dua kereta elektrik (EV) yang baru dilancarkan untuk pasaran, dan sebuah SUV mewah besar.
EV kini menjadi satu trend, dan Ioniq 5 tampil sebagai antara yang menonjol. Tidak kisahlah kalau kita bandingkan dengan kereta biasa atau EV, rekaan moden retro Ioniq 5 memang unik. Kemudiannya, ia dipadankan pula dengan spesifikasi serta kelengkapan yang tinggi. Duduk di atas platform khas untuk EV, Ioniq 5 nampak seperti hatchback bersaiz Golf, tetapi sebenarnya ia agak besar, dengan jarak roda sekitar tiga meter – hampir seperti Palisade di sebelahnya.
Ioniq 5 dijual pada harga bermula RM199,888, untuk varian Lite yang menggunakan bateri lithium-ion polymer 58 kWh serta motor elektrik tunggal dan pacuan roda belakang, menghasilkan kuasa 170 PS dan 350 Nm tork. Varian Plus yang dijual pada harga RM229,888 juga masih menggunakan bateri 58 kWh, tetapi datang dengan spesifikasi lebih tinggi.
Paling tinggi adalah varian Max, seperti yang dipertontonkan di PACE, dan ia dijual pada harga RM259,888. Varian ini mendapat bateri 72.6 kWh serta satu lagi motor untuk roda hadapan (AWD), menghasilkan kuasa keseluruhan 305 PS, 605 Nm tork dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat. Dengan sekali cas penuh ia boleh memberi jarak gerak 430 km.
Ioniq 5 sebenarnya adalah EV kedua Hyundai di Malaysia, sementara yang pertama adalah Kona Electric. Dilancarkan hujung tahun lepas, Kona Electric ditawarkan dalam tiga varian iaitu Lite (RM149,888, 39.2 kWh), Plus (RM169,888, 39.2 kWh spesifikasi lebih tinggi) dan Max (RM199,888, 64 kWh).
Bertentangan dengan EV, iaitu SUV berenjin besar Palisade turut hadir ke PACE 2022. Ia baru sahaja dilancarkan hujung tahun lepas, dan dipacu sama ada oleh enjin diesel turbo 2.2 liter 200 PS/440 Nm, atau petrol V6 NA 3.8 liter 295 PS/355 Nm. Kedua-dua versi ini dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan, tetapi cuma model CRDi sahaja yang datang dengan sistem pacuan AWD.
Bagi versi diesel tersebut, model lapan tempat duduk dijual pada harga RM328,888, manakala tujuh tempat duduk RM348,888. Bagi versi enjin V6 3.8L pula, tetapan lapan tempat duduk dijual pada harga RM338,888 manakala tujuh tempat duduk RM358,888. Perincian lanjut serta galeri gambar ada di sini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.