Ekzos kenderaan dicuri di kawasan parkir sunyi di M’sia — ‘catalytic converter’ bernilai jadi sasaran

Ekzos kenderaan dicuri di kawasan parkir sunyi di M’sia — ‘catalytic converter’ bernilai jadi sasaran

Seorang wanita di Twitter baru-baru ini berkongsi pengalaman buruknya yang kehilangan paip ekzos kereta Honda City miliknya akibat dicuri. Menurut hantaran yang dilakukan, kenderaan tersebut diletak di stesen LRT Glenmarie sementara dia dan keluarga ke Kuala Lumpur dengan tren ketika kejadian itu berlaku.

Dalam hantaran susulan pula, dia mendedahkan yang bahagian tengah sistem ekszos itu, tempat di mana catalytic converter diletakkan, telah dicabut dan dilarikan. Sasarannya tentulah catalytic converter, dan pencuri kemudiannya sudah tentu akan menjual kepada pengedar besi buruk untuk mendapatkan nilai beberapa logam berharga yang digunakan di dalamnya, termasuk seperti platinum, rhodium dan palladium.

Alat berkenaan berfungsi untuk mengubah bahan berbahaya yang terdapat dalam gas ekzos (karbon monoksida, nitrik oksida, nitrogen dioksida dan hydrakarbon) kepada bahan yang kurang berbahaya seperti karbon dioksida dan wap air melalui tindak balas kimia.

Di dalam catalytic converter, anda akan menemukan struktur honeycomb yang biasanya diperbuat daripada seramik yang mana logam-logam seperti yang disebutkan itu akan bertindak sebagai pemangkin dan bereaksi dengan gas ekzos. Barisan logam berkenaanlah yang berharga, menjadikannya sasaran seperti dalam kes yang dinyatakan ini.

Walaupun kita jarang mendengar kecurian catalytic converter di sini, ia menjadi lumrah di negara lain. Menurut laporan oleh National Insurance Crime Bureau (NICB) Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada Mac 2021, terdapat 108 kes kecurian peralatan berkenaan purata sebulan pada 2018, purata 282 kes sebulan sepanjang 2019 dan purata 1,203 kes bagi 2020.

Berapa harga logam-logam yang dinyatakan itu? Ketika ini, emas dijual pada harga sekitar RM269.28 (22 karat) dan RM293.68 (24 karat) bagi satu gram. Platinum pula sekitar RM140.67 satu gram, palladium sekitar RM347.41 satu gram manakala rhodium pula sekitar RM2,545 satu gram — harga dipetik dari beberapa sumber dan mungkin berbeza. Satu catalytic converter mengandungi satu hingga tujuh gram setiap satu logam berkenaan secara purata, bergantung kepada model dan buatan.

Angka-angka ini tentunya menjadi dorongan kepada pencuri untuk mensasarkan peralatan berkenaan, tetapi ada cara yang diharapkan dapat mengelakkan kenderaan anda daripada menjadi mangsa. Ini termasuklah selalu parkir di kawasan cerah, memasang peralatan anti-kecurian pada catalytic converter dan memasang penggera atau sistem kamera untuk mengesan pelaku.

Menanda catalytic converter kereta anda dengan meletakkan nombor VIN kenderaan mungkin satu lagi cara, kerana ia akan mencadangkan kepada pengusaha besi buruk yang jujur bahawa itu adalah barang curi dan memudahkan pencarian pemiliknya. Jika anda pernah mengalami pengalaman yang sama, boleh kongsikan dengan kami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required