Mercedes-Benz C-Class W206 dilancarkan di Malaysia bulan lalu sebagai unit CBU import. Sama ada Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bawa masuk dalam jumlah yang kecil atau pelanggan benar-benar tertarik dengan kereta tersebut, sedan eksekutif itu kini telah habis dijual semuanya.

Menurut Naib Presiden MBM, Michael Jopp tempahan untuk C-Class terbaru itu kini akan dialihkan kepada model CKD. “Respon pasaran nampaknya menggalakkan, lebih baik daripada apa yang kami jangkakan. Maka unit CBU telah habis dijual dan pelanggan kini menunjukkan minat juga terhadap model CKD.”

Ketika pelancarannya, diumumkan bahawa pemasangan tempatan model ini akan dilakukan di Pekan, Pahan dan akan dimulakan pada separuh kedua tahun ini. Ini bermakna, model berkenaan tidak akan menikmati pengecualian SST yang sedang berlangsung hingga 30 Jun nanti.

Sekadar makluman, C-Class versi CBU dijual pada harga RM288,334 bagi C 200 Avantgarde, naik kepada RM330,681 bagi varian C 300 AMG Line — ini menjadikan perbezaan harganya antara RM37,000 hingga RM39,000 lebih mahal berbanding model CKD sebelumnya.

Walaupun peningkatan harga itu disebabkan perubahan yang dilakukan serta pertambahan kelengkapannya, SST yang dikenakan untuk kereta CBU (walaupun dengan potongan 50%) adalah antara penyumbang kepada faktor tersebut. Untuk itu, model CKD nanti dijangka akan memperlihatkan sedikit pengurangan harga.

GALERI: Mercedes-Benz C 200 Avantgarde Line 2022

GALERI: Mercedes-Benz C 300 AMG Line 2022