Proton mula guna tenaga solar untuk kilang di Tanjung Malim; jimat bil lebih RM5 juta setahun, mesra alam

Setakat ini, Proton masih belum memberikan sebarang bayangan untuk melancarkan model-model janaan elektrik sepenuhnya. Namun ini bukan bermakna jenama automotif nasional berkenaan tidak langsung menjalankan apa-apa langkah kearah neutral karbon. Hari ini, secara rasmi Proton mengumumkan bahawa kilangnya di Tanjung Malim sudah pun mula menjana elektrik menggunakan kuasa solar bagi operasi di fasiliti berkenaan.

Bagi menjana elektrik dari kuasa solar, kilang tersebut telah pun dilengkapi dengan panel solar yang dipasang di ruang parkir transit (tempat parkir sementara untuk kereta yang baru sahaja siap, sebelum diangkut ke pengedar-pengedar seluruh negara), dengan keluasan 23.4 ekar.

20,544 panel solar berkenaan kini membolehkan 2,880 kereta baharu yang telah siap untuk berteduh di bawahnya sambil menjana elektrik. Panel-panel solar yang di pasang tersebut juga adalah dari jenis dwi-muka – ini bermakna, kuasa solar bukan hanya diterima dari cahaya terus pada bahagian atas, malah cahaya yang dipantul semula pada permukaan badan kereta juga dapat menjana kuasa menerusi muka panel solar sebelah bawah.

Proton mula guna tenaga solar untuk kilang di Tanjung Malim; jimat bil lebih RM5 juta setahun, mesra alam

Dengan cara ini juga Proton tidak perlu menggunakan tanah tambahan untuk membangunkan fasiliti solar besar-besaran tersebut. Struktur tiang untuk bumbung solar ini juga direka dengan hanya menggunakan tiang pada bahagian tengah, mengurangkan risiko untuk mana-mana bahagian kereta terkena pada bahagian tiang berkenaan ketika dikendalikan.

Fasiliti untuk menjana kuasa solar ini disediakan oleh Kumpulan Pekat dan rakan bersekutunya MFP Solar. Fasiliti ini di dakwa sebagai fasiliti solar paling besar yang ada di Malaysia buat masa sekarang, serta mampu menjana kuasa elektrik 9MWp (puncak Megawatt). Bersama panel-panel solar yang telah dipasang pada bumbung kilang, sejumlah 12MWp kuasa elektrik dapat dihasilkan, atau 25% dari keseluruhan kuasa elektrik yang digunakan di kilang berkenaan.

Menurut Proton, untuk panel solar yang dipasang ditempat parkir ini, ia berpotensi untuk memberikan penjimatan bil elektrik berjumlah RM4.39 juta setahun, manakala panel-panel yang dipasang di atas bumbung pula memberikan penjimatan berjumlah RM1.46 setahun.

“Kemudahan panel solar Proton adalah sebahagian dari inisiatif hijau syarikat yang menyahut cabaran untuk membantu Malaysia memenuhi sasaran kerajaan untuk menjadi negara neutral karbon menjelang tahun 2050. Selain dari penjimatan utiliti, penggunaan sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui akan membolehkan kami mengurangkan 11,536 tan karbon dioksida di atmosfera yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat dan ekosistem di Tanjung Malim,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

Proton sebenarnya telah pun mula menjalankan langkah-langkah kearah neutral karbon bermula pada 2015 menerusi lima fasa. Fasa pertama melibatkan perlaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga di kilang dan ibu pejabatnya untuk menilai data penggunaan. Hasilnya selepas dua tahun, Proton dapat mewujudkan garis dasar tenaga di semua fasiitinya yang dapat memberikan gambaran lebih mendalam bagi penggunaan tenaga yang lebih efisien.

Fasa kedua pula melibatkan langkah-langkah kecekapan tenaga di mana beberapa projek telah dilaksanakan. Antaranya adalah pemasangan lampu LED, penggantian penyejuk dengan penyejuk magnet, dan menggunakan unit pemampat induk untuk menyegerakan bekalan udara termampat bagi memenuhi permintaan semasa pada setiap bahagian pengeluaran.

Proton mula guna tenaga solar untuk kilang di Tanjung Malim; jimat bil lebih RM5 juta setahun, mesra alam

Ini diikuti oleh fasa 3, yang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa dan air dengan melaksanakan sistem di mana air kitar semula digunakan untuk menara penyejuk pemampat serta digunakan sebagai air tambahan untuk tangki air pili (hydrant) di kilang Tanjung Malim.

Penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti janaan kuasa elektrik menggunakan sistem solar ini merupakan langkah fasa keempat yang dirancang oleh Proton. Manakala fasa 5 pula melibatkan kerja-kerja pendigitalan semua data tenaganya dalam cloud server untuk memperkenalkan teknologi AI dan Analitis Data Besar bagi membolehkan pengurusan tenaga syarikat dengan ramalan penggunaan tenaga dan langkah preskriptif untuk mengurangkan penggunaan tenaga di semua kilang dan kemudahan pejabat.

Dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga 2020, inisiatif ini telah mencapai penjimatan bil tenaga sebanyak RM20 juta atau bersamaan penjimatan 55,000 MWj dan lebih 40,000 tan pengurangan pelepasan karbon dioksida ke udara.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.