Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Februari 2022, dan ternyata grafnya semakin menunjukkan peningkatan. Sebanyak 43,722 unit kenderaan telah terjual pada bulan itu, iaitu naik sebanyak 7.7% berbanding 40,581 unit yang dijual pada Januari lalu.

Menurut MAA, peningkatan ini disumbangkan oleh syarikat pengeluar kereta yang meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi tempahan yang tertunggak. Hasil gabungan jumlah jualan dengan yang direkodkan pada Januari, untuk tahun-ke-tarikh berkenaan, mencatatkan peningkatan sebanyak 9.7% (atau 7,463 unit) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021, dengan sejumlah 84,303 unit kenderaan – walau pun Februari hanya mencatatkan peningkatan jualan sekitar 274 unit berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Jualan Mac juga diunjurkan lebih tinggi, disebabkan tempoh bekerja yang lebih panjang pada bulan ini. Malahan syarikat kereta juga pastinya akan mendorong jualan yang lebih tinggi bagi memenuhi sasaran untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac.