Harga bagi BMW iX3 di Malaysia juga telah dikemaskini, dengan varian spesifikasi tertinggi kini lebih mahal sebanyak RM3,000 berbanding yang dilaporkan pada pertengahan bulan lalu. Buat masa ini, pra-tempahan secara dalam talian bagi SUV elektrik ini telah pun dibuka dengan yuran sebanyak RM5,000, dan sesiapa yang berminat bolehlah menempahnya.

Senarai harga terkini (efektif 14 Mac 2022), varian Impressive berharga RM318,608.94 atas jalan tanpa insurans, termasuk waranti asas dua-tahun, tanpa had perbatuan dengan rebat jualan dan perkhidmatan (SST) yang masih berlangsung sehingga 30 Jun 2022 – pengecualian sebanyak 50% memandangkan iX adalah model import sepenuhnya (CBU).

Sebelum ini, harganya adalah RM315,608.94, dan jika anda inginkan waranti lanjutan lima-tahun dan pakej servis lima-tahun/100,000 km, harganya akan meningkat menjadi RM334,248.94 (sebelum ini RM331,248.94).

Manakala bagi varian Inspiring, harganya dikekalkan pada RM298,354.69 dengan pakej waranti asas, atau
RM313,994.69 dengan waranti lanjutan dan pakej servis. Kedua-dua varian turut ditawarkan dengan Power Package (22 kW AC home wallbox dan kabel pengecas Type 2) yang melibatkan kos tambahan sebanyak RM5,000.

Risalah spesifikasi BMW iX3 M Sport Impressive

Harga tersebut adalah selepas mendapat pengecualian cukai import, duti eksais dan cukai jalan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia untuk kenderaan elektrik (EV), yang membuatkan iX3 lebih murah – kurang RM10,200 untuk Inspiring dan RM8,200 bagi Impressive.

Kedua-dua varian menampilkan motor elektrik yang diletakkan di belakang, yang mampu memberikan 210 kW (286 PS) dan tork 400 Nm, yang membolehkannya dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 6.8 saat dan kelajuan maksimum cecah 180 km/j.

E-Motor itu dijanakan oleh bateri lithium-ion 73.8 kWh yang mampu memberikan jarak antara 453 dan 461 km mengikut kitaran WLTP. Pengecasan mengambil masa sekitar tujuh jam 30. init dengan menggunakan kuasa pengecasan AC secara maksimum pada kadar 11 kW, tetapi jika menggunakan pengecasa pantas DC sehingga 150 kW, kadar 0-80% pengecasan dapat dicapai dalam 32 minit.

Model asas Inspiring didatangkan dengan pakej M Sport, lampu utama LED adaptif, roda aloi aero dinamik Style 842 19-inci, upholstery kulit Vernasca, papan pemuka balutan kulit tiruan Sensatec, kemasan dalaman aluminium dengan Pearl Chrome dan switchgear perak.

Risalah spesifikasi BMW iX3 M Sport Inspiring

Turut diberikan ciri kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, peredam adaptif, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas dan memori untuk bahagian pemandu, kawalan suhu automatik tiga-zon, pengecas tanpa wayar Qi, bumbung suria panoramik, bantuan parkir dengan Bantuan Mengundur, 12-pembesar suara, sistem bunyi 205-watt, kamera undur dan tailgate bukaan bebas-tangan.

Mankala model Impressive pula diberikan ciri tambahan berbanding Inspiring, seperti lampu utama Laserlight, roda aloi Style 890 M 20-inci, paparan utama, kaca akustik untuk cermin sisi hadapan, kawalan pergerakan, 16-pembesar suara, sistem bunyi Harmon Kardon, sistem kamera 360-darjah dan bunyi pemanduan sintetik IconicSounds Electric.

Kedua-dua varian juga datang dengan pakej Driving Assistant Professional, yang memberikan pelbagai ciri keselamatan seperti Autonomous Emergency Braking, Evasive Steering Assist, Adaptive Cruise Control with Stop and Go, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Traffic Sign Recognition, Emergency Stop Assist serta Adaptive High Beam.

Model iX3 ini juga didatangkan dengan ciri standard amaran bunyi untuk pejalan kaki dan Active Protection, iaitu satu sistem yang mengetatkan tali pinggang serta mengunci semua tingkap sekiranya mengesan sebarang risiko perlanggaran (seperti Pre-Safe Mercedes-Benz).

GALERI: BMW iX3 M Sport Impressive di Malaysia