CEO Proton Li Chunrong telah mendedahkan bahawa pengeluar kereta tersebut akan membangunkan kereta berteknologi tinggi dan kenderaan tenaga baharu tidak lama lagi, susulan pelancaran Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, semalam.

Kenderaan Tenaga Baharu atau New energy vehicles (NEVs) merupakan terma utama bagi kenderaan elektrik (EV), termasuk kenderaan plug-in hybrid, sel bahan api dan elektrik sepenuhnya. Ternyata dengan adanya AHTV ini, sekaligus membuka peluang seluas-luasnya buat Proton dalam membangunkan NEVs, dan dalam masa yang sama syarikat ini turut merancang untuk mengembangkan pasaran eksport sedia ada.

Baru-baru ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) telah mengeluarkan artikel kaji selidik yang mendedahkan pengeluar kereta nasional ini akan mula mengeksplorasi teknologi hibrid terlebih dahulu sebelum membangunkan kenderaan elektrik penuh, dengan EV pertama disasarkan bakal diperkenalkan pada tahun 2027. Timbalan CEO Proton Roslan Abdullah sebelum ini juga mendedahkan syarikat ini mempunyai rancangan untuk memperkenalkan model hibrid, PHEV dan EV.

Kita juga mengetahui bahawa model mild hybrid juga berada dalam rancangan Proton, malahan syarikat ini telah mempertontonkan enjin 1.5 liter TGDi dengan belt-driven starter generator (BSG) 48-voltan di Centre of Excellence (COE) di Shah Alam.

Untuk imbas kembali, AHTV adalah “projek besar berimpak tinggi” yang memfokuskan sistem dan teknologi baharu bagi memacu industri automotif negara. Projek ini akan mengutamakan teknologi-teknologi baharu dalam industri automotif, termasuk teknologi elektrifikasi, kepintaran buatan (AI), teknologi autonomi serta ketersambungan termaju.

Seperti yang diketahui umum, Tanjong Malim kini menempatkan fasililti Proton, yang majoritinya dimiliki oleh DRB-Hicom, dan visi kumpulan berkenaan adalah untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai hab industri automotif bagi rantau ASEAN.

“Ini bagi memastikan bahawa Industri automotif Malaysia terus berkembang dan setanding dengan negara-negara jiran. Dengan wujudnya sistem, infrastruktur dan sokongan daripada pemegang taruh yang betul, AHTV akan berada pada landasan yang baik untuk menarik pelaburan daripada pemain industri di rantau ini, seterusnya memacu pertumbuhan dan keupayaan industri automotif tempatan,” kata DRB-Hicom dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Buat masa sekarang, kawasan sekeliling kilang Proton Tanjong Malim yang berkeluasan 4,000 ekar kebanyakannya telah didiami oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris, vendor sedia ada, sebagai premis komersial dan sebagai hartanah kediaman. Tanah tambahan ini khas untuk pembangunan AHTV, termasuklah universiti penyelidikan.

DRB-Hicom turut berkata, pada peringkat awal pembangunannya (tiada sebarang garis masa diperincikan buat masa sekarang), kira-kira 370,000 peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan di tapak AHTV bersebelahan dengan fasiliti pembuatan Proton di Tanjong Malim.