Lexus Malaysia telah umumkan yang SUV Lexus NX generasi kedua serba baru kini mula dibuka untuk tempahan di Malaysia. Ada dua versi ditawarkan; varian NX 250 Luxury, pada harga RM370,888 dan NX 350 F Sport dengan harga RM389,888 — harga atas jalan tidak termasuk insurans, dan tidak termasuk pengecualian SST yang bakal berakhir 30 Jun nanti.
NX 250 Luxury dikuasakan oleh enjin 2.5 liter NA yang menghasilkan 204 hp pada 6,600 rpm dan 243 Nm tork dari 4,000 hingga 5,000 rpm, sementara NX 350 F Sport pula menerima enjin 2.4 liter turbocas yang menghasilkan 275 hp pada 6,000 rpm dan 430 Nm tork dari 1,700 hingga 3,600 rpm.
Kuasa disalurkan ke roda depan, dengan sistem pacuan semua roda kawalan elektronik juga akan pengalih tork ke gandar depan dan belakang bila diperlukan. Transmisi pula menggunakan jenis automatik lapan-kelajuan dengan kawalan AI Shift, yang menggunakan kamera untuk mengimbas jalan di hadapan dan menyesuaikan protokol pertukaran mengikut kesesuaian.
Model generasi kedua ini menggunakan platform GA-K Lexus Global Architecture, yang menampilkan 30% lebih kukuh berbanding generasi sebelumnya untuk mendapatkan kawalan dan kendalian lebih baik.
Bagi kelengkapan keselamatan, datang standard untuk NX 2022 ini ialah Lexus Safety System Plus (LSS+), yang termasuk di dalamnya ciri seperti Pre-Collision System (PCS) dengan pengesanan pejalan kaki dan pengayuh basikal, bantuan pengesan lorong (LTA), kawalan melayar radar dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop/Go serta sistem lampu tinggi adaptif (AHS).
Sebagai tambahan bantuan kepada pemandu, turut ada ialah bantuan isyarat jalan (RSA) yang akan membaca papan tanda had laju, peninjau pandangan panoramik (PVM) dan sokongan brek parkir (PKSB) yang mengawal output enjin dan mengenakan brek autonomous ketika masuk parkir.
Infotainmen dalam Lexus NX 2022 dilengkapi dengan unit skrin sentuh 14-inci, dengan sokongan untuk Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Kedua-dua varian ada ciri lampu suasana, dengan 64 pilihan warna tersedia.
Kelengkapan lain termasuklah e-latch door opener, yang membolehkan penumpang hanya menekan satu butang dan pintu akan terus terbuka. Lapan warna disediakan sebagai pilihan, termasuklah Sonic Chrome. Varian F Sport pula diberikan dua warna eksklusif. Warna ruang dalaman pula hitam dan gelap, sementara varian Luxury menerima perincian Hazel.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.