Proton Saga MC2 2022 – kenapa masih facelift, tiada model generasi baru walaupun sudah 6 tahun?

Proton Saga MC2 2022 – kenapa masih facelift, tiada model generasi baru walaupun sudah 6 tahun?

Proton Saga generasi ketiga telah diperkenalkan buat pertama kali pada September 2016, bermakna ia sudahpun berada hampir enam tahun dalam pasaran. Ia telah diberikan versi facelift pertama (MC1) pada 2019, dan kemudian semalam versi facelift kali kedua (MC2) telah dilancarkan secara rasmi.

Jika kita lihat model-model dari luar seperti Jepun dan Eropah, satu-satu generasi model itu hanya akan dijual sekitar enam tahun dalam pasaran, dan kemudian akan diganti dengan model generasi baharu. Tetapi Saga menerima facelift baharu ketika ia mencapai usia produksi hampir enam tahun, menandakan hayatnya dalam pasaran mungkin akan bertambah sekurang-kurangnya sekitar antara dua hingga tiga tahun lagi.

Kenapa jadi macam ni? Kenapa Proton masih menjual model ‘lama’ ini dalam pasaran dan tidak diganti dengan model generasi baharu? Selepas pelancaran Saga MC2 2022 semalam, kami sempat bertanyakan soalan ini kepada naib CEO Proton Roslan Abdullah.

Menurut Roslan, beliau faham berkenaan sentimen awam yang sinis terhadap apa yang Proton lakukan ini. Namun faktanya, Proton masih lagi pengeluar automotif kecil yang bergantung hampir sepenuhnya kepada pasaran Malaysia yang tak sebesar mana, sekaligus tidak mempunyai jumlah jualan yang cukup untuk mendapatkan semula dana bagi membangunkan sebuah model generasi baharu dalam masa yang singkat.

“Jika kita mahu ikut langkah, contohnya, OEM Jepun [dalam membangunkan model baharu] setiap lima hingga enam tahun, kita perlu jual dalam jumlah lebih banyak untuk pelunasan,” kata Roslan. Apa yang beliau katakan ini secara asasnya bermaksud tanpa skala ekonomi yang besar, Proton masih perlu mengekalkan struktur asas Saga, dalam masa yang sama membuat “penambahbaikkan pada beberapa keperluan bagi memastikan harga jualannya memenuhi jangkaan pelanggan.”

Roslan turut memberikan contoh terhadap Maruti Suzuki 800 di India yang boleh dikaitkan dengan Saga di Malaysia, di mana hatchback kompak ikonik yang selalu muncul dalam filem Bollywood berkenaan diperkenalkan bermula pada 1986, dan terus diproduksi serta dikemaskini sehingga pengeluarannya dihentikan sepenuhnya pada 2014.

“Jika kami ubah semuanya, vendor-vendor sudah tentu akan bising kerana jumlah pengeluaran masih belum mencapai sasaran. Kami boleh letakkan harga lebih tinggi agar semua orang gembira, tapi selepas itu sudah tentu pelanggan pula tak gembira.

“Kami tak boleh terus tukar. Jika pelanggan mampu untuk beli, saya OK, tapi hakikatnya mereka tak boleh,” jelas Roslan.

Saga merupakan model Proton yang paling mampu milik, bersaing dalam kelas sedan segmen-A bersama Perodua Bezza. Ini bermakna harganya perlu dijual dalam julat yang sama dengan satu-satunya sedan dari Perodua berkenaan, dan tidak boleh lebih dari sedan segmen-B Proton Persona.

Ketika dilancarkan semalam, Saga MC2 2022 dijual dengan harga bermula RM34,400 untuk Standard MT, RM38,300 untuk Standard AT, RM41,300 untuk Premium. Saga juga kini hadir dengan varian Premium S yang menampilkan perincian lebih sporty dan teknologi lebih baik, dijual pada harga RM44,300, atau sekitar RM1k lebih murah berbanding varian paling asas Persona yang berharga RM45,200.

Saga turut masih dieksport ke luar negara, termasuk pasaran terbesar Proton buat masa sekarang iaitu Pakistan, di mana ia turut sudah dipasang secara tempatan (CKD) di sana bermula pada Oktober tahun lalu. Roslan menyatakan bahawa ini antara usaha Proton bagi menambahkan lagi jumlah jualannya, mungkin untuk mewajarkan pelaburan yang lebih besar dalam model baharu kelak.

Untuk perincian penuh berkenaan Saga facelift MC2 2022 ini, anda boleh baca laporan pelancarannya pada PAUTAN INI, dan juga perincian spesifikasi setiap varian termasuk harga pada PAUTAN INI.

GALERI: Proton Saga 1.3 Premium S AT 2022

GALERI: Proton Saga 1.3 Premium AT 2022

GALERI: Proton Saga 1.3 Standard AT 2022

GALERI: Foto rasmi Proton Saga MC2 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Àirid on May 14, 2022 at 3:06 pm

    Itulah mentaliti yang menyebabkan Proton tidak akan berjaya jika ada CEO yang tidak berani , tidak seperti CEO sebelum ini yang hebat dan menerangkan bagaimana Proton akan dipasarkan dengan wajah dan gaya baru setiap 5 tahun bermula dengan era Gen2, Persona, Preve, Exora, dan akhirnya usaha beliau dimatikan oleh ahli politik yang bodoh. Itulah Proton, sepatutnya bersaing dengan Honda, Daihatsu, Toyota, Mitsubishi sebab Proton adalah teknologi EUROASIAN. Selamat menuju kegagalan lah .

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 3
 

Add a comment

required

required