Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, mengesahkan Bahagian Siasatan dan Penguasaan Trafik (BSPT) IPD Pontian telah mengesan video tular pada 10 Mei lalu menerusi laman media sosial Facebook yang memaparkan seorang ibu membiarkan anak lelakinya yang berusia 10 tahun memandu kereta.

Katanya, video itu memaparkan seorang kanak-kanak lelaki sedang memandu Perodua Kancil berwarna merah yang turut terdapat dua kanak-kanak lain duduk di bahagian hadapan.

“Berikutan kejadian itu, BSPT menjalankan risikan terperinci dan dapati kejadian itu berlaku jam 7 pagi Selasa lalu (10 Mei) di Pekan Nanas. Video berkenaan dipercayai dirakam oleh anak perempuan wanita terbabit yang berusia 11 tahun menggunakan telefon miliknya.

“Ibu kepada tiga kanak-kanak berkenaan mengakui [email protected] yang memaparkan video itu adalah menerusi akaun TikTok miliknya, sebelum ia tular di Facebook dan Whatsapp,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Berikutan video tular tersebut, wanita terbabit bersama suaminya telah menyerah diri ke IPD Pontian.

Menurut Mohammad Shofee, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Ibu bapa atau penjaga yang membenarkan kanak-kanak memandu kenderaan di bawah umur boleh didakwa di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001. Selain itu, pemilik kenderaan yang juga ibu atau bapa kanak-kanak berkenaan boleh disaman di bawah Seksyen 39 (5) APJ 1987, ” katanya.