Royal Enfield Classic 350 dan Meteor 350 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga dari RM23,500

Bersempena dengan pembukaan pusat pameran Royal Enfield di Petaling Jaya, pengedar rasmi baru motosikal jenama itu, Didi Group juga telah melancarkan dua model untuk pasaran Malaysia iaitu Classic 350 dan Meteor 350. Dua model ini menggunakan asas sama, tetapi mempunyai gaya yang berbeza.

Memacu dua model ini adalah enjin satu silinder 349 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik serta penyejukan udara, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan untuk menghasilkan 20 hp pada 6,100 rpm dan 27 Nm tork pada 4,000 rpm.

Perbezaan di antara Classic 350 dan Meteor 350 dapat dilihat jelas melalui penampilannya, dan ini termasuk bahagian fender hadapan dan belakang, perumah lampu, penghadang angin hadapan, tangki, tempat duduk dan ekzos.

Kemudiannya, Classic 350 didatangkan bersama rim spoked 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dibalut tayar masing-masing 100/90 dan 120/80 sementara Meteor 350 dipasang dengan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut tayar masing-masing 100/90 dan 140/70.

Kelengkapan lain untuk dua motosikal ini adalah sama, iaitu fork teleskopik 41 mm, dua penyerap hentak di belakang dengan pelarasan pra beban, brek cakera tunggal 300 mm dengan angkup dua piston di hadapan, cakera 270 mm dengan angkup satu piston di belakang, ABS two-channel serta panel instrumen gabungan analog dan digital.

Bergantung kepada warna dan aksesori, Classic 350 dijual pada harga antara RM23,500 hingga RM24,500 manakala Meteor 350 pula dijual pada harga antara RM24,300 hingga RM25,200. Yakin dengan kemampuan motosikal ini, Didi Group menyediakan jaminan (tanpa had batuan) serta bantuan tepi jalan selama tiga tahun, dan servis percuma sebanyak tiga kali.

GALERI: Royal Enfield Classic 350

GALERI: Royal Enfield Meteor 350