Benarkan anak keluar dari tingkap kereta – bapa didakwa; berdepan denda RM50k, penjara 20 tahun

Ingat lagi satu video tular sekitar Mac lalu memaparkan tiga orang kanak-kanak yang menaiki Mercedes-Benz E-Class W211 mengeluarkan separuh badan mereka menerusi tingkap kereta yang sedang bergerak tersebut? Terkini, bapa kepada kesemua kanak-kanak tersebut sudahpun dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan tersebut semalam, lapor Bernama.

Berita tersebut menyebut bahawa T. Vengadasalabathi, 37, bapa kepada ketiga-tiga kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan yang dilakukan di Jalan Tambun di antara pukul 6.20 hingga 6.45 petang, 22 Mac lepas.

Dia dituduh sebagai seorang yang mempunyai penjagaan ke atas ketiga-tiga kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun itu telah mendedahkan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal. Walau bagaimanapun Vengadasalabathi mengaku tidak bersalah atas kesemua dakwaan berkenaan.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dengan pendakwaan yang dibuat ini, Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta larangan mendekati mangsa. Namun peguam tertuduh, K. Nahtan memohon jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan atas alasan tertuduh yang bekerja sebagai ejen insurans berpendapatan hanya RM2,000 dan perlu menanggung ketiga-tiga anak serta isteri selain tinggal bersama ibu bapa yang berusia 67 dan 72 tahun.

Nahtan turut merayu atas larangan mendekati ketiga-tiga anak itu kerana ia bukan melibatkan kes dera atau jenayah seksual malah Vengadasalabathi adalah bapa kandung mereka. Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Laporan ini turut menyebut bahawa Vengadasalabathi telah ditahan di Sunway City Ipoh pada 24 Mac lalu selepas polis mengesan video berdurasi seminit dua saat berkenaan di laman Facebook yang memaparkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya tersebut dalam sebuah kereta yang sedang bergerak di jalan raya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required