September 2021 lalu, ACO Tech telah melancarkan Atlas (akronim untuk ACO Tech Local Automotive Services), iaitu satu sistem operasi (OS) infotainmen yang disediakan pada Proton Iriz dan Persona sejak Januari lalu, dan juga ditawarkan kepada pengeluar OEM lain yang berminat.
Di kalangan pengguna sedia adanya sekarang, terutamanya yang gemarkan muzik, ada sesuatu yang boleh mereka raikan kerana tidak lama lagi, OS ini berkemungkinan akan dimasukkan dengan aplikasi muzik Spotify.
“Tidak lama lagi kami akan menambah aplikasi streaming muzik paling popular di dunia (ke dalam sistem ini),” kata CEO ACO Tech, Li Pu.
Walaupun tidak menyatakan nama aplikasi tersebut secara terus, kita boleh menjangkakan ia adalah Spotify kerana itulah aplikasi muzik paling popular sekarang. Menurut data yang dikeluarkan oleh Statista, sehingga suku pertama tahun 2022 ini, terdapat 422 juta pengguna aktif Spotify, sementara untuk yang membayar, Spotify mempunyai 182 juta pelanggan sehingga Q1 2022 ini.
ACO Tech turut memberitahu bahawa selain Iriz dan Persona yang sudah menggunakannya, Atlas juga akan ditawarkan pada X50, dan bayangannya sudah ditunjuk dalam satu video perayaan yang dikeluarkan pada bulan April lalu. Untuk versi 2022, syarikat itu juga memberitahu, Atlas menerima lebih daripada 300 peningkatan.
Semasa dilancarkan tahun lepas, Atlas menggunakan asas Android 9 (Pie), dengan mempunyai widget boleh ubah untuk paparan cuaca, navigasi, pemain media dan pelbagai lagi. Waktu itu juga pengisian hiburan disediakan oleh servis streaming muzik atas talian Joox, serta platform Syok Astro untuk radio digital dan podcast. Aplikasi, isi dan pakej data untuk Atlas diterima melalui A-Store dalam sistemnya.
Selain itu, Atlas juga akan menerima Atlas Pay, yang dikendalikan oleh Fasspay, dan membenarkan pengguna untuk membuat pembayaran serta transaksi secara selamat tanpa meninggalkan kenderaan mereka. Fungsi ini kemudiannya diperlengkap lagi dengan aplikasi Atlas Auto, yang membolehkan pengguna menggabungkan beberapa platform e-wallet, dan disediakan melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.