Selepas beberapa teaser, ACO Tech akhirnya melancarkan ATLAS (akronim untuk ACO Tech Local Automotive Services), iaitu satu sistem operasi (OS) infotainmen yang akan ditawarkan kepada pengeluar kenderaan OEM yang berminat.

Diketuai dan dibangunkan sendiri oleh warga Malaysia, dengan pelaburan berjumlah RM30 juta, sistem ini menawarkan pengalaman penggunaan lebih baik, dengan ciri baru dan disokong oleh aplikasi mudah alih percuma yang dipanggil ATLAS Auto.

Tidak seperti perisian GKUI berasaskan Android 8 (Oreo) yang digunakan oleh beberapa model Proton sekarang, ATLAS ini pula adalah serba baru dengan menggunakan Android 9 (Pie). Walaubagaimanapun, anda masih tidak mendapat akses kepada servis berkaitan Google seperti Play Store. Aplikasi, kandungan lain serta pakej data untuk sistem ini bagaimanapun boleh didapati melalui A-Store di dalamnya.

Paparan sistem ini seperti biasa dilihat, hampir sama seperti perisian GKUI pada Iriz dan Persona baru. susun aturnya melibatkan paparan peta di bahagian kiri sementara widget lain seperti untuk cuaca, pemain media dan aplikasi pilihan diletakkan di bahagian kanan. Anda juga boleh melihat semua aplikasi yang ada, tetapan kenderaan serta pilihan tema.

Bagi sistem GKUI – turut melibatkan penyertaan ACO Tech sfemasa pembangunannya – kawalan suara adalah antara fungsi yang penting. Pada ATLAS, ia dipertingkatkan lagi. Anda boleh memilih suara lelaki (Atlas) atau perempuan (Aethra), dan namanya juga boleh ditukar. Sistem ini turut dikatakan dapat memahami Bahasa Inggeris yang digunakan oleh orang tempatan dengan lebih baik.

Fungsi lain yang disediakan adalah amaran suhu ekstrem dan tayar pancit – bergantung kepada spesifikasi kereta. Sementara itu bagi sistem hiburan, platform Astro Syok disediakan terus bersama servis layaran muzik Joox. Penggunaan Spotify atau Android Auto dan Apple CarPlay untuk ciri ini tidak dinyatakan.

Pergi kepada navigasi pula, aplikasi Map menyediakan informasi trafik masa sebenar, tempat menarik dan disambungkan dengan aplikasi cuaca untuk memberitahu pemandu keadaan cuaca di destinasi. Sekiranya tiada sambungan internet atau GPS, pemandu masih boleh menggunakan sistem ini melalui data peta offline. Satu lagi fungsi berguna adalah ia boleh mengesan sekiranya tahap bahan api kenderaan sudah rendah dan mengeluarkan cadangan stesen minyak terdekat.

Pada suku kedua tahun hadapan, fungsi kalendar akan ditambah dalam sistem ini, dan membenarkan pengguna menyamakan kalendar dan peringatan yang berada pada telefon bimbit. Menurut ACO Tech, sistem ini akan menggunakan informasi yang ada, dan menyediakan cadangan masa berlepas untuk memastikan pengguna sampai mengikut masa.

Menjelang separuh kedua tahun tahun hadapan pula, sistem ini akan ditambah dengan fungsi bayaran ATLAS Pay. Melaluinya, pengguna boleh membuat bayaran dan transaksi secara selamat tanpa keluar daripada kereta. Ini adalah sistem pertama yang menggunakan fungsi tersebut dalam industri automotif di Malaysia, dan dilakukan dengan kerjasama Fasspay.

ATLAS Pay juga akan berada dalam aplikasi ATLAS Auto menjelang suku keempat tahun ini, dan ia boleh dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery pada aplikasi mudah alih. Selain membenarkan integrasi antara beberapa platform e-wallet, aplikasi ini juga boleh digunakan untuk membeli servis di dalam pusat beli-belah atas talian, membaca berita ataupun informasi lain.

Satu lagi yang penting, aplikasi ini juga boleh mengendali fungsi telematik, yang membenarkan pengguna mengawal fungsi kenderaan dari jarak jauh, atau memeriksa status kenderaan. Menjelang suku pertama tahun hadapan juga anda boleh membuat sambungan kepada peranti pintar yang dipakai (seperti jam pintar).

Menurut ACO Tech, ATLAS dibangunkan untuk menjadi satu sistem seperti OS Android Automotive, di mana sistem kenderaan, infotainmen dan servis ketersambungan dapat disepadukan dalam satu sistem. Ada antara fungsi yang dinyatakan ini akan disediakan pada kenderaan Proton, tetapi pengeluar lain juga boleh mendapatkan OS ini sekiranya mahu.

GALERI: OS infotainmen ATLAS

GALERI: Aplikasi ATLAS Auto