Proton X70 MC 2022, iaitu versi kemaskini terkini untuk SUV segmen-C berkenaan akan dilancarkan secara rasmi esok, 9 Jun dan ia bakal disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook bermula pukul 11 pagi. Sebelum itu, Proton telah sekali lagi menyiarkan teaser untuk kali terakhir menunjukkan bahagian belakang model tersebut.
Dari imej-imej teaser yang disiarkan setakat ini, nampaknya hampir pasti bahagian hadapan dan belakang X70 MC ini menampilkan rupa yang masih sama seperti model sedia ada – sesuai dengan namanya, MC yang bermaksud Minor Change. Ia juga menerima rim 19-inci dengan rekaan sama seperti model edisi terhad X70 SE yang dihasilkan hanya 2,000 unit tahun lalu.
Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa model kemaskini ini akan ditawarkan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang sama seperti X50. Ini juga bukan perkara baharu kerana X70 yang dieksport untuk ke pasaran luar seperti Pakistan dan Nepal sememangnya hanya ditawarkan dengan enjin tersebut bermula pada lewat 2020.
Apa yang belum pasti, adakah Proton masih akan menawarkan enjin 1.8 liter empat silinder turbo pada model sedia ada untuk versi kemaskini ini, atau ia hanya akan tampil dengan enjin 1.5 liter sahaja. Walaupun kedua-dua enjin tersebut dibezakan dengan kapasiti sekitar 300 cc, kuasa yang dihasilkan tidak banyak beza.
Enjin 1.8 liter TGD-I pada model sedia ada menjana 184 PS dan tork maksima 300 Nm, manakala enjin 1.5 liter TGD-I pada X50 dan X70 pasaran eksport pula mnghasilkan 177 PS dan 255 Nm dengan kelebihan berat yang dapat dikurangkan. Kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT seharusnya terus digunakan.
Namun menerusi imej-imej intipan sebelum ini, X70 berkemungkinan akan ditawarkan semula dengan sistem pacuan semua roda. Sistem berkenaan sebelum ini telah pun ditawarkan pada model-model awalan X70 CBU sejak ia dilancarkan pada 2018, namun ia tidak lagi diberikan pada mana-mana varian selepas versi CKD dilancarkan pada 2020.
Jadi kalau nak tahu apa perubahan sebenar untuk Proton X70 MC 2022 ini, jangan lupa saksikan siaran langsung pelancarannya esok pada pukul 11 pagi, atau tunggu laporan bertulis dari kami.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.